TM rugi berikutan laporan penurunan harga jalur lebar

Gobind berkata perbincangan antara syarikat telekomunikasi juga akan diadakan mengenai kemungkinan rebat diberikan kepada pelanggan.

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) muncul kaunter ketiga paling rugi di Bursa Malaysia pagi ini berikutan laporan media bahawa harga perkhidmatan jalur lebar Malaysia dijangka susut sekurang-kurangnya 25% menjelang akhir tahun ini.

Pada 10.05 pagi ini, saham syarikat telekomunikasi utama itu merosot 35 sen atau 9.64% kepada RM3.28 berbanding RM3.63 sewaktu ditutup semalam dengan 22.14 juta saham saling berpindah tangan.

Sewaktu pasaran dibuka pagi ini, TM susut dua sen kepada RM3.61.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata penurunan harga perkhidmatan jalur lebar adalah berikutan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Penetapan Harga Akses (MSAP) pada 8 Jun lepas.

“Pihak yang berkaitan kini dalam perbincangan mengenai penetapan harga borong dan proses tersebut dijangka berakhir pada Julai atau Ogos. Selepas itu pakej jalur lebar pada harga lebih rendah akan diperkenalkan kepada pengguna,” katanya.

Gobind berkata perbincangan antara syarikat telekomunikasi juga akan diadakan mengenai kemungkinan rebat diberikan kepada pelanggan.

Gobind mahu wujudkan jalur lebar lebih pantas, pada separuh harga