Khairuddin: Zahid beritahu saya PH patut berhati-hati dengan Anwar, Azmin

Khairuddin Abu Hassan

PETALING JAYA: Penyokong setia Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini mendedahkan lebih banyak maklumat berhubung komunikasinya dengan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum pertemuannya dengan perdana menteri awal bulan ini, termasuk dakwaan pemangku presiden Umno itu menasihati Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti.

“Ketika bertemu dengan saya, Zahid Hamidi turut menzahirkan pandangan agar tidak terlalu percaya pada percaturan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali,” kata Khairuddin kepada FMT.

“Namun saya tetap berpendirian jangan sesiapa cuba mengadu domba seterusnya pecah-belahkan pemimpin dalam PH. Dalam apa jua situasi, kami akan pertahankan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti yang bakal menjadi perdana menteri ke-8,” katanya.

Khairuddin berkata Zahid merayu beliau supaya mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir pada 9 Jun lepas, kira-kira sebulan selepas pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN).

Pada Rabu lepas, Zahid memberitahu ahli Umno Selangor bahawa beliau dijemput berjumpa Dr Mahathir, dan berkata pemimpin veteran itu meminta supaya Ahli Parlimen Umno menyertai PPBM.

“Saya katakan dengan jelas tidak ada jalan bagi kita menyertai PPBM,” kata Zahid.

Berikutan itu, Khairuddin mengeluarkan kenyataan biasa beliau yang bernada keras menuduh Zahid berbohong, dan mengongsi gambarnya dengan Zahid pada hari sama pertemuan dengan Dr Mahathir berlangsung.

Semalam, Zahid menafikan beliau “merangkak” untuk menemui Dr Mahathir dan menambah bahawa Khairuddin “menghubungi beliau dan mengatur pertemuan itu.”

Calon presiden Umno itu turut menaikkan grafik dengan perkataan “Wabillahi Watallahi” di laman Facebooknya memandakan beliau bersumpah akan kebenaran kata-katanya.

Khairuddin hari ini berkata Zahid harus menyertainya mengulangi sumpah itu secara rasmi.

“Tolong beritahu penyangak Zahid Hamidi saya bersedia menjunjung kitab suci al-Quran bersumpah laknat di mana-mana masjid sekalipun.

Saya tak merangkak untuk jumpa Dr M, kata Zahid

Zahid nafi minta nasihat Dr M uruskan Umno

Zahid rayu saya bawa jumpa Dr M, kata Khairuddin

Zahid pula ziarah Dr M sempena Ramadan