Pemuda Johor akan pilih calon naib ketua terbaik

Shahril Hamdan (kiri) dan Bastien Onn merupakan pesaing utama bagi jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.

PETALING JAYA: Walaupun seramai 9 calon bertanding merebut jawatan naib ketua Pemuda Umno menjelang pemilihan parti itu 30 Jun depan, saingan sengit dijangka berlaku antara 2 calon tumpuan iaitu Shahril Hamdan dan Bastien Onn.

Shahril dan Bastien adalah antara calon yang dijangka memenangi jawatan tersebut, menurut Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim.

Katanya Shahril banyak menyumbang masa dan khidmat kepada beliau dalam parti tersebut.

“Beliau mempunyai potensi menjadi pemimpin yang berkaliber. Begitu juga Bastien. Kedua-duanya bagus, dan kami menjangka akan berlaku persaingan sengit antara mereka berdua,” katanya. “Tetapi kami mahu ahli akar umbi tentukan siapakah calon terbaik untuk jawatan tersebut.”

Bastien merupakan ketua Pemuda Umno Segamat, sementara Shahril mengetuai Pemuda Kuala Langat dan juga merupakan penyandang ketua penerangan Pemuda Umno Malaysia. Kedua-dua calon menganggotai Biro Profesional Muda Pemuda Umno.

Calon lain yang bertanding untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno ialah Zahruddin Yahya, Sharique Adam Das, Razali Tushan, Halim Sidek Hassan, Ridzuan Hashim Baki, Safhwan Matusin dan Fariz Hadi.

Menurut Hahasrin, Shahril, yang berumur awal 30-an, pernah bergerak aktif dalam persatuan pelajar United Kingdom & Eire Council of Malaysian Students (UKEC), dan memenangi jawatan ketua Pemuda Kuala Langat tanpa bertanding.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Shahril berkata, Umno perlu menimbangkan beberapa isu penting seperti sama ada parti itu patut membuka keahliannya kepada bukan Melayu dalam proses pembinaan semula selepas kekalahan dalam pilihan raya 9 Mei lepas.

Beliau juga menegaskan Umno tidak harus tersasar daripada ojektifnya menjadi parti yang mentadbir kerajaan semula walaupun perlu melalui beberapa pilihan raya akan datang. Ini katanya memerlukan ahli Umno untuk tidak bertindak mengikut emosi.

2 calon popular bagi jawatan ketua Pemuda Umno ialah Khairul Azwan Harun, penyandang jawatan naib ketua, dan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.