Tiada masalah turunkan had umur mengundi, kata Rahman Dahlan

Abdul Rahman berkata, apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana mahu memastikan setiap pengundi dapat membuat keputusan dengan tepat berdasarkan fakta, bukannya berdasarkan spekulasi atau pembohongan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mahu menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu bagaimanapun berkata, lebih penting ialah memastikan golongan muda memahami keputusan yang mereka buat mengenai sesuatu isu.

“Kadangkala-kadang kita lihat ramai yang membuat keputusan hanya berdasarkan spekulasi, berdasarkan pembohongan dan sebagainya.

“Kalau umur 50 tahun pun tak dapat membuat keputusan dengan baik dan tidak membuat kajian tetapi membuat keputusan melulu tidak ada gunanya. Pada saya, 18 atau 21 tahun tak menjadi soal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara bersama akhbar Malay Mail bahawa kerajaan PH mungkin akan menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana mahu memastikan setiap pengundi dapat membuat keputusan dengan tepat berdasarkan fakta.

“Saya tak ada masalah (dari segi umur), tapi cabarannya ialah bagaimana memastikan pengundi membuat keputusan dengan tepat berdasarkan fakta,” katanya.

Mengulas isu sama, calon Ketua Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan berkata, pihaknya menyambut baik idea untuk menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, pengerusi Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara itu berkata, cadangan berkenaan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Lebih penting ialah melihat isu pendaftaran automatik bagi semua rakyat Malaysia yang memegang kad pengenalan Malaysia, warganegara yang berumur 21 tahun. Sebab hari ini kita masih lagi gagal mendapatkan rakyat kita sendiri untuk mendaftar jadi pengundi,” katanya.

Menurutnya, jika mengikut amalan di United Kingdom, semua orang perlu mengundi dan akan menerima kad mengundi.

“Kalau Tun Mahathir kata nak mengikut amalan luar negara, ini amalan luar negara. Ini yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau turut berpandangan tempat mengundi seharusnya berdasarkan kepada di mana pengundi itu menetap, bukannya seperti alamat tertera di kad pengenalan.

“Sebab alamat kad pengenalan ini anda punya alamat di Kelantan tapi anda (sebenarnya) bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur…anda tak patut mengundi untuk orang Kelantan kerana anda tinggal di Kuala Lumpur dan perlu mengundi untuk orang Kuala Lumpur.

“Tak adil bagi orang Kelantan bila anda yang menentukan siapa pemimpin untuk orang Kelantan walhal anda tinggal di Kuala Lumpur,” katanya.