‘Warlord’ Umno cuba singkir pemenang pilihan raya, kata Idris Haron

Idris berkata kekalahan BN di Melaka bukan salahnya kerana dia memenangi kerusi yang ditandinginya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Seri Idris Haron hari ini mendakwa ada cubaan daripada beberapa “warlord” Umno untuk menyingkir pemenang-pemenang pilihan raya dan mengangkat orang-orang tewas.

Pengerusi Umno Melaka berkata antara orang yang cuba disingkirkan ialah dirinya sendiri, yang dipersalahkan atas kekalahan Umno di negeri itu.

“Saya ini calon yang disukai rakyat tetapi tidak disukai segelintir ‘warlord’ Umno di Tangga Batu. Bukan salah saya sebab saya menang,” katanya.

Beliau tidak menamakan orang-orang tewas itu.

Sebelum ini, media melaporkan Umno Tangga Batu mengemukakan usul menuntut Idris bertanggungjawab atas kekalahan Umno di Melaka pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dan meletakkan jawatan. Undi tidak percaya terhadap Idris mendapat sokongan majoriti ahli jawatankuasa bahagian.

Usul dikemukakan di satu mesyuarat Umno bahagian yang dipengerusikan Idris. Mesyuarat itu kemudian diteruskan oleh timbalannya, Datuk Abu Bakar Mohamad Diah.

“Mereka kata saya gagal mengekalkan Barisan Nasional (BN) di Melaka tetapi di negeri lain, ada timbalan dan pengerusi Umno bahagian yang negerinya kalah bertanding jawatan timbalan presiden dan presiden Umno.

“Mereka juga kata saya tidak mesra, jika saya tidak mesra bagaimana saya boleh menang 4 kali dalam pilihan raya dan menjadi ketua Umno bahagian sudah 10 tahun,” kata bekas ketua menteri Melaka ini.

Idris berkata beliau merujuk kesahan undi tidak percaya itu kepada ibu pejabat Umno dan menurut beliau undi tidak percaya tiada dalam perlembagaan parti.

“Lagi-lagi untuk jawatan pengerusi perhubungan adalah lantikan dari presiden parti,” katanya.

Pada pemilihan 30 Jun nanti, Idris menawarkan diri untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno. Beliau tidak menolak kemungkinan isu ini akan menjejaskan peluangnya.

Pada PRU lalu, Idris mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang dengan majoriti 2,229 undi. BN bagaimanapun hanya mempertahankan 13 kerusi berbanding 15 kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan.