Ahli Parlimen Kepong kata Najib terbabit urus janji kondo Taman Wahyu

Projek hartanah mewah di Taman Wahyu, didakwa diluluskan oleh Najib Razak, dihentikan oleh DBKL.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng akan membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung satu urus janji tanah di mana sebahagian daripada kolam bekas lombong ditebus guna untuk satu projek kondominium mewah.

Lim mendakwa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa berakta projek itu diluluskan atas arahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. “Kami bertemunya pada Khamis bersama beberapa pihak lain. Ali berkata dia bertindak atas arahan Najib,” kata Lim.

FMT sedang cuba mendapatkan pengesahan Ali Hamsa.

Kerja-kerja projek kondominium mewah itu sudah dihentikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Urus janji tanah itu melibatkan permohonan bersama oleh sebuah syarikat berkaitan Umno dan kumpulan penerbitan berkaitan Umno, Utusan Malaysia.

Lim berkata dia dimaklumkan oleh Ali bahawa permohonan diskaun 30% daripada syarikat berkenaan diluluskan Najib. “Tetapi kami tak pasti adakah diskaun itu diberikan,” kata Lim.

Beliau berkata tanah itu diperoleh oleh syarikat berkaitan Umno dan Utusan Malaysia, dan kemudian dijual kepada Perdana Park City, yang kemudian menyertai satu usahasama dengan pemaju hartanah China, Country Garden.

Lim berkata laporan ke SPRM itu akan dibuat atas dasar salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan rasuah.