Belum terima surat rasmi Gerakan keluar BN, kata Zahid

Zahid berkata dia mahu meneliti keputusan Gerakan.

KUALA LUMPUR: Pemangku Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata pihaknya belum menerima surat rasmi keluar gabungan itu daripada Gerakan.

Memandangkan satu kenyataan rasmi sudah dikeluarkan oleh parti pengasas BN itu hari ini, mengumumkan keputusan sebulat suara jawatankuasa pusat, Zahid berkata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan diarah untuk menghubungi mereka.

“Saya akan melihat keputusan yang telah dibuat oleh mereka secara teliti.

“Setiausaha agung dan setiausaha kerja BN akan menghubungi mereka kerana kita belum dapat surat rasmi mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Gerakan yang keluar daripada BN hari ini.

Jawatankuasa pusat Gerakan berkata keputusan dicapai selepas mempertimbangkan perkembangan politik semasa pasca pilihan raya umum ke-14 secara serius dan menyeluruh.

Kenyataan itu berkata Gerakan akan kekal sebagai parti bebas dan pembangkang kepada Pakatan Harapan, dan akan “bekerjasama dengan parti-parti, individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang sehualuan”.

Pada 12 Jun lalu, 4 parti komponen BN Sarawak turut mengumumkan keluar daripada gabungan itu dengan membentuk gabungan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Barisan Nasional kini terdiri daripada parti-parti era Perikatan iaitu Umno, MCA dan MIC.

Tak yakin cadangan Umno pelbagai kaum

Sementara itu, Zahid diminta mengulas cadangan calon presiden, Khairy Jamaluddin meminta ahli melihat idea membuka keahlian kepada semua kaum susulan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Zahid tidak yakin idea itu akan diterima ahli Umno.

Zahid berkata Ahli Parlimen Rembau itu boleh melakukannya sekiranya beliau menjadi presiden Umno yang baru.

“Saya mahu lihat sama ada dia boleh terjemahkannya kepada tindakan atau tidak kerana Datuk Onn Jaafar telah mencuba membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu.

“Apa jadi kepada dia? Sejarah telah memberitahu kita mengenai perkara itu,” katanya.