Dasar larang tukang masak asing terus dikritik

Ramai pihak tidak berpuas hati dengan dasar larangan pengambilan tukang masak asing. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kritikan demi kritikan terus ditujukan ke arah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran kerana keputusan kerajaan melarang restoran mengambil tukang masak asing bermula Januari ini.

Peguam dan aktivis, Azhar Harun, berkata di Facebook, kerajaan Pakatan Harapan tidak patut membuat sebarang keputusan besar tanpa terlebih dahulu berunding dengan semua pihak terlibat. “Bukan ini yang rakyat mahu daripada PH,” katanya.

Di media sosial, Kulasegaran dikritik oleh rakyat yang merasakan larangan itu seperti xenofobia, manakala ada juga yang mahu menteri mengutamakan isu lain seperit gaji minima. “Mengarut” dan “langkah bodoh” antara kata-kata yang digunakan mereka. Pengusaha restoran turut membantah dasar itu.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat, bersetuju dengan Azhar dan berkata walaupun Kulasegaran berniat baik tetapi ada cara lain yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah berbangkit kerana ia tidak boleh diselesaikan melalui larangan.

Wong berkata sat sebab utama menjelaskan kebergantungan negara kepada pekerja asing ialah bukan sahaja ia dibayar gaji yang rendah tetapi juga terdedah kepada eksploitasi pekerja, seperti bekerja untuk tempoh yang panjang tanpa bayaran lebih masa.

Jika kementerian boleh mengekang eksploitasi pekerja, majikan akan mengambil lebih ramai rakyat tempatan, kata Wong. “Jika mereka masih tidak mengambil orang tempatan, maka kita perlu berusaha meningkatkan kemahiran orang kita.”

Terdahulu, Wong menulis tentang bahaya membuat keputusan sebelah pihak.

Walaupun Putrajaya tidaklah diharap merujuk semua orang dalam semua keputusannya, tetapi kerajaan tidak sepatutnya membuat sebarang keputusan tanpa melakukan rundingan yang sewajarnya, sama ada tentang kereta nasional atau tukang masak asing.

“Sudah tentu anda boleh umum terlebih dahulu dan kemudian berpatah balik, tetapi bukan itu sudah menjejaskan kewibawaan anda?” katanya.

Kulasegaran pada Jumaat mengumumkan semua restoran hanya boleh mengambil bekerja tukang masak tempatan mulai 1 Januari bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain memastikan mutu makanan tempatan.

Kerajaan menggesa pengusaha hanya merekrut rakyat tempatan mulai 1 Julai, dan mereka diberi sehingga akhir tahun ini untuk mematuhi peraturan itu.

Kumpulan hak asasi manusia, Pusat Komas berkata, larangan itu mencerminkan prejudis dan sama seperti diskirimasin jika keputusan itu dibuat semata-mata atas dasar kewarganegaraan tukang masak dan bukan atas faktor lain seperti kemahiran memasak.

“Pelanggan harus mempunyai pilihan untuk memilih tempat makan tanpa mengira siapa yang memasak makanan itu,” kata Pengarah Program Adli Zakuan.

Kementerian patut mengalakkan lebih ramai tukang masak tempatan bekerja di restoran daripada mengenakan larangan ke atas tukang masak asing.