Hanya kepura-puraan untuk Wanita Umno, kata bekas pemimpin negeri

Jahara Hamid berkata Wanita Umno diabaikan dan tidak dilayan secara sama rata. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Datuk Jahara Hamid mendakwa budaya dalam Umno menghalang wanita bertanding jawatan tertinggi parti, mengulas janji Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin untuk mewujudkan jawatan naib presiden khas untuk Wanita jika memenangi pemilihan nanti.

Bekas ketua pembangkang Pulau Pinang ini berkata Wanita mahukan jawatan naib presiden sejak bertahun lamanya tetapi tidak pernah berjaya.

“Tidak menjadi hal jika ia disyorkan Khairy, tapi Wanita Umno pernah mendesak resolusi itu,” kata Jahara.

“Ada banyak lagi cadangan berkaitan wanita yang dicadangkan Wanita sebelum ini tetapi mereka hanya berpura-pura. Mereka boleh cakap apa saja yang mereka mahu, tapi kita tengoklah sama ada mereka boleh jadikan ia kenyataan atau tidak.”

Pada 2014, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil meminta Wanita diberi jawatan naib presiden. Beberapa perwakilan Pemuda Umno, termasuk Khairy, menyokong perkara itu.

Jahara bagaimanapun berkata budaya dalam parti menghalang wanita bertanding jawatan tertinggi.

“Tiada peraturan yang menghalang mereka, tetapi kerana adanya budaya seperti itu, wanita terhalang dari ke depan, sehinggakan mereka hilang keyakinan diri untuk bertanding jawatan-jawatan tinggi.”

Pada pemilihan tahun ini, Noraini Ahmad, Azizah Mohd Dun dan Siti Zaharah Sulaiman antara calon yang bersaing untuk jawatan ketua Wanita, menggantikan Shahrizat yang akan berundur.

Jahara berkata Wanita Umno diabaikan dan tidak dilayan sama rata.

“Kita sudah dilupakan. Sebab itu juga kita tiada sokongan untuk bertanding jawatan tertinggi. Walaupun kita mahu, tiada sokongan untuk calon wanita bertanding jawatan-jawatan itu di dalam parti,” katanya.

“Ini mesti berubah. Kita mesti gerak ke depan tanpa budaya itu. Jika tidak parti tidak akan berubah.”

Beliau berkata tidak boleh ada apa-apa yang menghalang wanita bertanding timbalan presiden atau presiden sekalipun.

“Masalahnya tidak cukup calon yang sesuai untuk mengambil peranan itu. Kita perlu kaji perkara ini dengan serius dan mula melahirkan calon-calon wanita,” katanya.

“Tengoklah Dr Wan Azizah dari Pakatan Harapan. Saya angkat topi pada beliau kerana menjadi timbalan perdana menteri wanita pertama,” katanya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ialah presiden PKR dan memegang portfolio menteri wanita.

“Kalau Pakatan Harapan boleh melakukannya, saya rasa Umno pun boleh,” kata Jahara.