Kabinet: Lebih baik tunggu pengumuman Dr Mahathir, kata Nga

Spekulasi media menyebut Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming terkeluar daripada senarai menteri Kabinet.

PETALING JAYA: Hanya beberpa hari sebelum baki senarai anggota Kabinet kerajaan diumumkan, lebih banyak nama disebut dalam spekulasi awam tentang bakal menteri yang dilantik.

Pengerusi DAP Perak yang kerap dipalit kontroversi, Nga Kor Ming hari ini meminta semua pihak bersabar selepas tersebar spekulasi beliau diketepikan.

Nga berkata orang awam tidak harus mempercayai dakwaan media bahawa nama beliau tidak tersenarai.

“Saya fikir perdana menteri akan membuat pengumuman rasmi (tentang baki anggota Kabinet) minggu depan. Lebih baik tunggu pengumuman beliau dan hormati keputusannya,” Nga dipetik berkata.

“Spekulasi begini tidak baik untuk kerajaan dan juga Jabatan Perdana Menteri.

Sumber tertinggi parti berkata, rundingan masih berjalan dalam kalangan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) bagi mengisi 12 lagi portfolio, dan keputusan belum muktamad.

Nama yang disebut dalam spekulasi media termasuk pemimpin muda DAP Yeo Bee Yin, 35 dan Syed Saddiq Abdul Rahman, 25 daripada PPBM.

Pemimpin PKR yang turut disebut ialah Saifuddin Abdullah, Xavier Jayakumar, P Sivarasa dan Kamaruddin Jaafar, sementara 5 daripada Amanah mungkin merangkumi Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad.

Nama lain yang berkemungkinan besar turut tersenarai ialah Teresa Kok dan Chong Chieng Jen daripada DAP dan pemimpin Warisan Sabah, Darell Leiking dan Azis Jamman.