Kekal atau keluar BN, masa depan Gerakan tetap gelap, kata ahli akademi

Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Seorang penganalisis berkata keputusan Gerakan untuk keluar Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi kesan pada gabungan itu, dan menambah langkah parti itu tidak mengejutkan.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata keputusan itu juga tak relevan, kerana Gerakan tidak memenangi sebarang kerusi DUN atau Parlimen pada pilihan raya bulan lepas, yang menyaksikan BN menjadi kucar-kacir ekoran kekalahan yang teruk.

“Gerakan bertanding 31 kerusi negeri dan 10 kerusi Parlimen tetapi kalah pilihan raya dengan teruk sekali,” katanya.

Salah satu parti pengasas BN itu hari ini mengumumkan ia akan kekal sebagai parti pembangkang bebas tetapi akan “bekerjasama dengan parti-parti, individu-individu dan kumpulan-kumpulan sehaluan”.

Parti yang pernah memerintah Pulau Pinang ini berkata keputusan dicapai selepas mempertimbangkan perkembangan politik semasa pasca PRU14 secara serius dan menyeluruh.

Awang Azman berkata kejayaan terbaik Gerakan ialah apabila ia memerintah Pulau Pinang selama 4 dekad, sebelum kekalahan BN di negeri itu pada 2008.

Beliau berkata 2008 menyaksikan kejatuhan Gerakan, apabila parti itu hanya memenangi 2 kerusi pada pilihan raya umum ketika itu.

Sekarang, Gerakan akan mendapati betapa susahnya hidup bersendirian, kata Awang Azman.

“Masa depan Gerskan, ketika ini, nampak gelap. Mereka sekarang bersendirian.

“Mereka akan bersaing dengan parti-parti pelbagai kaum lain seperti DAP dan PKR, dan tidak mudah bagi mereka kerana bersendirian,” katanya.

Awang Azman berkata tidak akan ada banyak perbezaan sekalipun MCA yang meninggalkan BN.

“BN benar-benar perlukan masa untuk pulih,” tambahnya.

Parti itu muncul sebagai parti berbilang kaum yang terdiri daripada aktivis dan ahli politik berhaluan kiri pada 1969 dalam satu gelombang penentangan terhadap Perikatan.