Ku Li: Umno perlu bersih daripada lagak sombong, melampau dan elitis

Veteran Umno itu menggesa anggota parti menyuburkan kembali semangat Melayu seperti yang pernah ditonjolkan pemimpin terdahulu semasa mahu memerdekakan Tanah Melayu.

SHAH ALAM: Umno perlu melakukan “pembersihan” dan “pembaikan” seperti dituntut masyarakat bagi menebus semula integriti parti yang dilihat semakin pudar dalam perjuangannya, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran Umno berusia 81 tahun itu berkata, antara “pembersihan” yang mesti diutamakan adalah dari aspek lagak kepimpinan berikutan sebelum ini masyarakat melabel pemimpin parti berkenaan sebagai sombong, melampau, elitis malah ada yang sukar dibuat janji temu.

Beliau berkata perkara berkenaan antara pendekatan yang akan diketengahkannya jika dipilih sebagai presiden Umno pada pemilihan parti 30 Jun ini, dan percaya langkah tersebut juga boleh menjadi “penawar” kepada persepsi masyarakat terhadap parti itu.

“Kita mahu pastikan polisi parti dapat menyembuhkan semula Umno khususnya dari aspek integriti yang sebelum ini dilihat kurang disukai masyarakat.

“(Anggota dan pemimpin Umno) cuba jaga diri, jangan terlibat dalam perkara yang tidak disukai rakyat seperti rasuah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin dan wakil Umno Selangor, malam tadi.

Selain Tengku Razaleigh, jawatan tertinggi Umno itu turut menjadi rebutan ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Umno Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota Umno Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof [email protected]

Ketika ditanya sama ada “pembersihan” Umno juga perlu melibatkan perubahan jawatan, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li berkata ia terpulang kepada kemahuan perwakilan peringkat cawangan dan bahagian kerana beliau yakin akar umbi lebih mengetahui tentang petualang dalam parti.

Malah, katanya perwakilan harus bijak menilai siapa petualang dalam parti demi memastikan kelangsungan parti berkenaan pada masa depan.

Ditanya mengenai tempoh pemulihan yang diperlukan Umno berikutan “kerosakan” dalamannya sehingga menyebabkan parti tersebut tersungkur buat pertama kali dalam pilihan raya umum lepas , bekas menteri kewangan dari tahun 1976 hingga 1984 itu berkata ia bergantung kepada respons masyarakat terhadap gerak kerja anggotanya selepas ini.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis tersebut, ketua Umno Gua Musang itu menggesa anggota parti menyuburkan kembali semangat Melayu seperti yang pernah ditonjolkan pemimpin terdahulu semasa mahu memerdekakan Tanah Melayu pada zaman pemerintahan British.

“Dahulu kebangkitan dan penyatuan Melayu untuk mencapai kemerdekaan mampu menyebabkan British berundur. Kenapa tidak sekarang (semangat itu dipupuk semula)? Setelah kita ada kuasa dan dapat pendidikan, jangan disebabkan ada masalah, ia pecah belahkan kita,” katanya.