Pemerkasaan wanita Umno perlu dilakukan sekarang, kata Shahrizat

Shahrizat berkata Wanita Umno perlu kerja keras mendesak perubahan untuk wanita dalam parti.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata langkah pemerkasaan wanita dalam Umno perlu dilakukan sekarang bagi memastikan ia terus relevan dalam arus politik hari ini.

Beliau berkata Umno bukan sahaja perlu menambah jawatan naib presiden khas untuk wanita, tetapi juga jawatan naib ketua bahagian agar perubahan dirasai hingga ke akar umbi.

Beliau yang tamat penggalnya sebagai ketua Wanita Umno hari ini berharap langkah meminda perlembagaan parti, bagi merealisasikan janji-janji calon bertanding untuk wanita Umno, dilakukan selepas pemilihan barisan kepimpinan baru 30 Jun ini.

“Saya harap 2 jawatan khas itu untuk wanita itu dapat dilaksanakan selepas pemilhan Umno hari ini. Kita sasar satu mesyuarat agung khas tahun ini diadakan untuk pinda perlembagaan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan menambah jawatan naib presiden untuk Wanita yang diutarakan oleh Khairy Jamaluddin, yang akan menawarkan dirinya untuk jawatan presiden.

Beliau juga diminta mengulas mengenai keluhan bekas ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid yang berkata cadangan itu sudah lama didesak oleh Wanita Umno tetapi budaya dalam parti menghalang kemajuan wanita dalam parti itu.

Shahrizat berkata Wanita Umno mahu kepimpinan sayap baru meneruskan desakan itu dan memobilisasi wanita di setiap peringkat parti.

“Wanita Umno mesti pimpin. Kita kena kerja keras. Ubah cara memilih jawatan tertinggi dan perlu lebih ramai wanita memegang jawatan dalam cawangan, bahagian, negeri dan peringkat nasional,” katanya.

Pada pemilihan tahun ini, 3 orang bersaing untuk merebut jawatan ketua Wanita iaitu Datuk Noraini Ahmad, Datuk Azizah Mohd Dun dan Tan Sri Siti Zaharah Sulaiman.

Wanita Umno hari ini memilih ketua baru yang akan mengetuai sayap itu sebagai pembangkang nasional, pertama kali sejarah parti itu selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Shahrizat umum bersara

Sementara itu, Shahrizat pada satu sidang media hari ini mengumumkan persaraan daripada politik selepas hampir 9 tahun mengetuai Wanita Umno.

Beliau berkata sudah sampai masanya tanggungjawab diserahkan kepada pelapis baru untuk membawa pergerakan itu ke masa depan.

“Saya akan bersara daripada politik dan habiskan masa dengan cucu saya, saya juga sudah lepaskan semua jawatan peringkat cawangan dan bahagian,” katanya.

Shahrizat, 64, pertama kali bertanding sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya 1995 di Lembah Pantai dan menjadi wakil rakyat kawasan itu sehingga kekalahannya pada pilihan raya 2008.

Beliau juga merupakan menteri pembangunan wanita dan keluarga pertama sejak kementerian itu diwujudkan pada 2001 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan sekali lagi memegang portfolio itu dari 2009-2012.

“Kamu harus tahu bila perlu berhenti, saya sudah lama dalam politik…kini tiba masanya untuk beri peluang kepada muka baru yang lebih segar,” katanya ketika ditemui semasa proses pemilihan berlangsung.

Walaupun tewas di tangan Nurul Izzah Anwar pada 2008, Shahrizat dilantik sebagai senator dan menganggotai Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dia bagaimanapun terpaksa melepaskan jawtan menteri 3 tahun kemudian kerana skandal berkaitan Pusat Fidlot Kebangsaan yang diuruskan oleh ahli keluarganya.

Shahrizat tidak bertanding pada pilihan raya 9 Mei lepas. Beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi ketua Wanita Umno pada pemilihan kali ini 5 Jun lalu.