Pengusaha mahu pusat sehenti permudah ambil tukang masak tempatan

Kementerian dicadang menyediakan latihan atau program membantu industri makanan dan minuman membangunkan modal insan dalam sektor khusus itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Peniaga makanan mahukan sebuah pusat sehenti diwujudkan untuk memudahkan proses mengambil tukang masak tempatan bekerja di bawah peraturan baru Kementerian Sumber Manusia mulai tahun depan.

“Dalam sektor makanan & minuman (F&B), kami menghadapi banyak masalah kerana kita tidak mempunyai pusat sehenti untuk menangani masalah itu.

“Kami perlu melalui banyak badan untuk mengambil pekerja termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia,” kata ketua pegawai eksekutif Kumpulan Restoran Kayu Nasi Kandar, Sirajudin Mohamed Mydin.

Beliau mencadangkan kementerian menyediakan latihan atau program membantu industri makanan dan minuman membangunkan modal insan dalam sektor khusus itu.

“Bagaimana kita hendak latih chef jika kita tidak mempunyai institusi khusus yang membangunkan industri makanan dan minuman kita. Pada masa ini, kita terlalu memberi tumpuan kepada industri perhotelan,” kata beliau, hari ini.

Beliau juga berkata kementerian perlu mengkaji peraturan dicadangkan itu sebelum melaksanakannya kerana ia memberi kesan kepada setiap pemain dalam industri berkenaan serta pengguna.