Peraturan tukang masak tempatan hanya cadangan, kata Kula

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran tampak seperti menarik balik arahan beliau kepada pengusaha restoran untuk hanya menggunakan tukang masak tempatan bermula 1 Januari tahun depan.

Pengumuman beliau semalam menerima bantahan, rasa tidak senang, malah kemarahan meluas daripada pemilik restoran, dan sebilangan mereka mengancam memindahkan kos tambahan menggaji tukang masak tempatan kepada pelanggan.

Mereka juga berkata, tempoh minimum 3 tahun diperlukan bagi melatih tukang masak tempatan untuk mengambil alih pekerjaan yang kini diisi oleh pekerja asing. Kata mereka, ramai orang tempatan tidak berminat bekerja di restoran.

Hari ini Kula memberitahu Star Online bahawa “ia hanyalah cadangan”.

Katanya pihak kementerian akan bersikap “bertimbang rasa” dalam meminta pengusaha makanan menggaji tukang masak tempatan.

“Kita akan libatkan pelbagai kelompok berkepentingan sebelum proses akhir,” katanya, yang seolah-olah merujuk aduan bahawa kementerian beliau tidak berunding dengan pemain industri sebelum mengumumkan perubahan mengejut dasar berkaitan perkara itu.

Kulasegaran juga berkata peraturan tukang masak tempatan tersebut hanya melibatkan kedai “makanan tempatan biasa”.

Syarat itu tidak terpakai ke atas restoran makanan asing, restoran mewah dan hotel 5 bintang yang memerlukan tukang masak khas.

Beliau berkata, Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja(WiLayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016 memang mensyaratkan semua penjaja rakyat tempatan.

“Kita hanya mahu ia dilaksanakan dengan teratur dan undang-undang sama dipakai di semua negeri,” katanya.

Kata beliau jumlah pekerja asing perlu dikurangkan.

Tahun lepas, terdapat seramai 1.8 juta pekerja asing, dengan 250,000 bekerja di sektor perkhidmatan, termasuk restoran. Pertambahan seramai 80,000 pekerja antara 2010 dan 2017.

Pada Mac tahun ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata peraturan imigresen menetapkan pekerja asing hanya boleh bekerja sebagai tukang masak. Restoran dan kedai kopi tidak dibenarkan menggaji pekerja asing sebagai pekerja baris depan.

Berikutan kenyataan itu, 2 persatuan makanan dan minuman mewakili lebih 21,000 ahli meminta Putrajaya mengendurkan peraturan imigresen itu kerana kesukaran mendapatkan pekerja tempatan mengisi jawatan tersebut.

Baru-baru ini media melaporkan sekumpulan penyelidik Universiti Malaya di ketuai Dr Siti Nursheena Mohd Zain mendapati kekerapan meluas bakteria penyebab keracunan makanan dikesan di tangan pekerja asing yang bekerja dalam industri makanan tempatan.

Sapuan tangan diambil daripada 383 pekerja asing yang mengendalikan makanan di 3 bandar utama – Ipoh, Kuala Terengganu dan Shah Alam dan hampir kesemuanya menunjukkan potensi mengancam kesihatan.

Siti Nursheena berkata dapatan itu menunjukkan kebarangkalian tinggi penyebaran bakteria patogenik dari tangan pengendali makanan kepada pengguna ketika proses penyediaan dan menghidang makanan.

Beliau menggesa pihak berkuasa kesihatan meningkatkan standard kebersihan dan sanitasi kendiri.