PH berusaha kotakan manifesto 100 hari, kata Mukhriz

Mukhriz juga percaya rakyat memahami ada antara janji tersebut memerlukan masa lebih 100 hari untuk dilunaskan apatah lagi dalam keadaan kewangan negara yang agak buruk sekarang.

KUALA PILAH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan yang terbaik untuk mengotakan janji 100 hari mereka.

Katanya sebahagian janji tersebut telah dilaksanakan sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas pilihan raya umum bulan lepas.

“Mengenai manifesto PH, kerajaan akan cuba mengotakan janji 100% dalam tempoh 100 hari. Ada yang sempat kita lakukan dalam 100 hari, ada juga yang kita boleh mulakan tetapi belum cukup selesai dalam 100 hari.

“Namun rakyat berpuas hati atas kesungguhan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Kuala Pilah, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Katanya, beliau juga percaya rakyat memahami ada antara janji tersebut memerlukan masa lebih 100 hari untuk dilunaskan apatah lagi dalam keadaan kewangan negara yang agak buruk sekarang.

“Apa-apa pun kita akan cuba menepati janji,” katanya.