Pilih saya untuk kesinambungan, kata Zahid

Zahid berkata tumpuannya ialah mengukuhkan parti sama ada tewas dan menang.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menawarkan “kesinambungan” kepada para ahli memandangkan dia diberi amanah menjalankan tugas-tugas presiden dan berhasrat meneruskan tanggungjawab itu.

Itulah sebabnya Zahid menawarkan dirinya sebagai calon presiden untuk pemilihan 30 Jun ini.

“Saya diberikan amanah untuk jalankan tugas-tugas presiden Umno setakat ini, maka tawaran saya untuk bertanding adalah sebagai satu kesinambungan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Kesinambungan Zahid bukan sahaja jika dia terpilih, tetapi bekas timbalan perdana menteri ini berkata dia akan membantu sesiapa shaja yang menjadi pemimpin nombor 1 parti walaupun dirinya tewas, “untuk memperkukuhkan Umno”.

Zahid perlu menangkis 4 pencabar yang mahukan kerusi yang didudukinya sekarang ini, termasuk veteran Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

“Jika saya menang, sebagaimana saya sebutkan saya tak akan tinggalkan seorang pun untuk bersama-sama membantu saya memperkukuhkan parti dengan agenda pembaharuan yang kita perbincangkan bersama,” katanya.

Sementara itu, Zahid meminta laporan rasmi mengenai seorang exco Pemuda Umno dari Johor yang didakwa mengamalkan politik wang untuk meraih undi dihantar ke ibu pejabat parti untuk tindakan susulan.

“Kita akan kemukakan laporan dan siasatan yang akan dilakukan oleh lembaga disiplin Umno pusat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Taman Munsyi Ibrahim di Pulau, Johor, Sharyfudin Basari mendakwa exco terbabit beberapa kali membuat perjumpaan dengan perwakilan di sekitar Johor dan menyogok wang sehingga RM300 seorang untuk membeli undi, kerana mahu mempertahankan jawatan yang disandang.

Dalam pada itu, Zahid mengumumkan 73 ketua bahagian menang tanpa bertanding daripada 191 ketua bahagian yang menawarkan diri untuk sesi 2018-2021.

Hanya 5 calon layak rebut jawatan presiden Umno

Exco pemuda Umno dari Johor didakwa sogok perwakilan