Rama kepada Kula: Bagaimana dengan pekerja Bangladesh?

Bulan lepas, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan kajian semula ke atas dasar pengambilan pekerja asing. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia digesa mengkaji dasar kerajaan sebelum ini seperti rancangan pengambilan pekerja dari Bangladesh yang dibuat pada 2016 sebelum melaksanakan dasar baru seperti pengharaman ke atas tukang masak asing.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata kementerian perlu mendedahkan salah laku kerajaan sebelum ini sama seperti dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Oleh sebab Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Lim Guan Eng supaya mendedahkan semua salah laku lampau, Kula sepatutnya melakukan perkara sama,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Jumaat lepas, Kulasegaran berkata restoran dikehendaki menggaji tukang masak tempatan sepenuhnya bermula 1 Januari tahun depan bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan menjamin mutu makanan tempatan.

Ramasamy berkata Kulasegaran perlu membuat rancangan baru dan merangka pelan menyeluruh berkenaan pekerja asing. Dasar terbaik akan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan pada saat sama tidak membebankan majikan.

Awal bulan ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa khas mengkaji cara mengurangkan jumlah pekerja asing dan pendatang tanpa izin. Jawatankuasa itu dijangka merangkumi wakil Kementerian Sumber Manusia dan agensi penguatkuasaan.

“Tetapi sebelum itu, kita perlu tahu kesilapan yang berlaku. Kenapa begitu banyak permit pekerja asing disalah guna oleh Barisan Nasional (BN) dan kroninya?,” katanya.

Beliau menggesa Kulasegaran mendedahkan maklumat terperinci rancangan kerajaan BN pada 2016 untuk mengimport 1.5 juta pekerja Bangladesh dalam tempoh 3 tahun.

Sebuah persatuan gabungan agensi pengambilan pekerja Bangladesh memprotes pelan itu pada masa itu kerana ia melahirkan monopoli oleh “satu sindiket yang didalangi sebuah syarikat Malaysia”.