Satu pinjaman atau banyak: Apakah penyatuan hutang jawapannya?

Tabiat berbelanja boleh menyebabkan hutang yang tinggi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bagi mereka yang hanya berbaki kecil dalam akaun bank selepas membayar pinjaman setiap bulan, penyatuan hutang nampak seperti prospek yang sangat menarik.

Penyatuan hutang ialah sebentuk pembiayaan semula hutang, di mana bank atau institusi kewangan mengambil alih hutang-hutang seorang peminjam dan menyatukannya menjadi satu pinjaman.

Peminjam itu kemudian membayar semula hutang yang disatukan itu pada satu kadar faedah yang dipersetujui dalam satu tempoh masa.

Penyatuan hutang ini semakin popular tetapi Perancang Kewangan Robert Foo memberi amaran ia sebenarnya tidak semudah itu.

Beliau menjelaskan penyatuan hutang semakin menjadi kebiasaan apabila bank sukar mendapatkan pelanggan baru kerana persaingan dan kekurangan pemohon pinjaman yang boleh dipercayai.

Beliau berkata bank-bank mencari peluang untuk mendapatkan pelanggan yang meminjam dari bank lain.

“Contohnya, seseorang itu mungkin ada pinjaman peribadi dan hutang kad kredit di mana dia perlu membayar RM3,000 sebulan.

“Bank yang menawarkan khidmat penyatuan hutang akan membuat tawaran untuk mengambil alih pinjaman-pinjaman itu. Katakan pelanggan ditawarkan bayaran balik sebanyak RM2,000 sebulan, mungkin dalam tempoh bayaran yang lebih panjang dan pada kadar faedah yang tinggi sedikit.

“Pelanggan akan menerima tawaran itu kerana mahukan lebihan RM1,000 dalam tangan setiap bulan.”

Walaupun cara itu itu nampak menarik, Robert berkata skim itu hanya menyelesaikan “simptom” masalah hutang.

“Masalahnya bukan orang itu tidak boleh membayar hutang, tetapi mengapa dia tidak boleh melangsaikan hutangnya.”

Robert berkata masalah pokok ialah ramai orang tidak mengawal perbelanjaan.

Beliau berkata ramai orang membuat pembelian berasaskan emosi daripada logik, dan ini boleh dilihat daripada cara produk dan perkhidmatan dipasarkan.

“Jadi orang ramai mesti dapatkan penilaian kewangan komprehensif jika mereka bergelut dengan hutang. Apakah kerana pendapatan sudah mengecil?

“Apakah kerana keputusan kewangan tertentu? Adakah mereka membeli aset yang tidak perlu atau terlalu payah melepaskannya?

“Barangkali kerana tabiat berbelanja mereka.”

Robert berkata sebab itu ramai orang perlukan pelan kewangan untuk merasionalkan hutang daripada memilih skim penyatuan hutang, yang tidak menyelesaikan punca masalah.

“Jika anda temui dan rawat punca masalah, simptom akan hilang. Masalahnua ramai orang berbelanja untuk perkara yang mereka tidak mampu dan menyedarinya apabila ada masalah bayaran balik.”

Robert menambah tiada satu cara penyelesaian untuk semua masalah memandangkan keadaan kewangan semua orang tidak sama.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mencari penyelesaian segera, dan menambah penyelesaiannya mungkin bukan meminjam lagi.

Beliau juga berkata skim penyatuan hutang menonjolkan masalah hutang isi rumah yang tinggi.

Menurut Bank Negara, pada penghujung 2016, hutang isi rumah mencecah RM1.086 trilion, atau 88.4% keluaran dalam negeri kasar.

Daripada jumlah itu, pinjaman perumahan adalah 50.3%, pinjaman kenderaan bermotor 14.6%, pinjaman peribadi 14.9%, pinjaman bukan perumahan 7.4%, sekuriti 5.7%, kad kredit 3.5% dan perkara lain 3.6%.