Sidang khas bincang caruman KWSP suri rumah Ogos depan, kata Wan Azizah

KWSP, Perkeso serta jabatan berkaitan akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagaimana hendak melaksanakannya, terutama isu teknikal seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955 yang menjadi kekangan.

KUANTAN: Persidangan khas akan diadakan pada minggu kedua Ogos ini bagi memperhalusi isu berhubung cadangan pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata beberapa agensi dan jabatan kerajaan berkaitan akan menyertai persidangan khas itu bagi mengkaji dengan teliti aspek teknikal yang menghalang pelaksanaan cadangan itu sebelum ini.

“KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) serta jabatan yang berkaitan akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagaimana hendak melaksanakannya. Memang ada beberapa isu teknikal seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955 yang menjadi kekangan dalam hal ini.

“Selain itu kita akan kaji cara untuk tangani akta KWSP yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan dan kita akan minta pandangan Kementerian Kewangan kerana pelaksanaanya juga melibatkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program Lawatan Turun Padang Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom,, hari ini, yang juga lawatan kali pertama Dr Wan Azizah ke Pahang selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Fazari Salleh.

Peruntukan di bawah Seksyen 51 Akta KWSP menyatakan “tiada amaun yang boleh diserahkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun”.

Malah pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menzahirkan kebimbangan dengan masalah penyakit mental di negara ini yang kurang mendapat perhatian sedangkan ia merupakan satu perkara serius.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian serius, jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baru kita nak bertindak.

“Kita perlu atasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan beberapa kementerian berkenaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana persekitaran juga menjadi penyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes seorang ibu yang mengelar leher anak lelakinya berusia 19 bulan di Felda Jengka 13, Maran baru-baru ini, yang dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan terkini melaporkan setiap 3 orang dalam 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental dan ia dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar rakyat di negara ini selepas penyakit jantung.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir setiap tahun.

Katanya terdapat 4,453 kes bagi tahun 2015 dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes kepada 4,982 kes pada tahun 2016 dan pada tahun lepas sahaja sebanyak 5,422 kes dilaporkan berlaku.

“Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka pada setiap masa,” katanya.