Agenda pertama ketua Pemuda Umno baru: Buang budaya elit

Asyraf mahu main bola dan halaqah ilmu bersama pemuda. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Agenda pertama ketua Pemuda Umno yang baru, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sejurus diumumkan pemenang pertandingan jawatan nombor 1 sayap itu ialah membuang budaya elit dalam parti.

Dalam seruannya kepada para pemimpin dan ahli-ahli parti, Asyraf berkata orang kebanyakan merasakan Umno mengamalkan budaya elit dan mulai hari ini Pemuda tidak lagi menginap di hotel atau menggayakan pakaian mewah.

“Kita tidak lagi tidur di hotel tetapi tidur di rumah-rumah ketua Pemuda cawangan. Kita nak buang pakaian-pakaian elit. Kita nak bersama-sama pemuda, main bola dengan mereka, halaqah ilmu bersama mereka,” katanya pada sidang media bersama barisan kepimpinan baru Pemuda di ibu pejabat Umno hari ini.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata selepas pembentukan exco, beliau seterusnya akan menjelajah ke 191 bahagian Umno di serata negara untuk mendengar sendiri suara hati orang muda.

“Kita nak mendapatkan apa juga maklumbalas daripada mereka,” katanya.

Asyraf turut ditanya mengenai rancanganya menguatkan kembali Barisan Nasional (BN) memandangkan gabungan itu kini hanya terdiri daripada parti-parti era Perikatan, iaitu Umno, MCA dan MIC. Beliau berkata keutamaannya sekarang ialah mengukuhkan Umno.

Beliau berkata Umno merasai kekalahan awal pada 1969 bersama Perikatan namun parti itu tidak hilang undi kaum-kaum bukan Melayu.

“Pada masa itu Tan Sri Jaafar Albar dibawa masuk walaupun umurnya 61 tahun pada waktu itu untuk memperkukuhkan Umno terlebih dahulu. Kerana dalam konteks negara kita, sejarah membuktikan kalau Umno kukuh, Umno diterima rakyat, dengan sendirinya parti-parti komponen juga akan kukuh dan ramai akan bersama-sama kita,” katanya.

Asyraf diumumkan pemenang dalam persaingan merebut jawatan ketua Pemuda menewaskan 7 pencabar lain, termasuk pesaing terdekat Senator Khairul Azwan Harun. Beliau digandingkan dengan Naib Ketua Shahril Suffian Hamdan.

Terdahulu, pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambarkan pemilihan parti yang selesai hari ini sebagai “ibu segala demokrasi”, dan langkah pertama menuju pembaharuan Umno.

Asyraf Wajdi, Noraini, Zahida pemenang ketua Pemuda, Wanita, Puteri