Akar umbi seru Umno kurangkan pemimpin lama

KUALA LUMPUR: Akar umbi Pemuda Umno berharap pemilihan parti kali ini akan menampilkan barisan pemimpin yang mahu mengetengahkan lebih ramai orang muda di setiap lapisan kepimpinan parti.

Ketua-ketua Pemuda cawangan yang ditemui FMT berkata pemimpin terpilih perlu menyatukan generasi, meruntuhkan benteng antara pemimpin atasan dan ahli bawahan dan terutama sekali, mengiktiraf peranan orang muda dalam kekalahan Umno pada pilihan raya umum lepas.

Ketua Pemuda Umno Changkat Desa, Azwan Manap.

Ketua Pemuda Changkat Desa, Azwan Manap mengingatkan pemimpin terpilih tidak terlalu memikirkan hal “atasan” sahaja.

“Barisan Nasional kalah kerana suara akar umbi,” katanya ketika ditemui di mesyuarat tahunan Umno Seputeh. “Pemimpin jangan terlalu tumpu para peringkat nasional. Pemimpin hari ini memikirkan atasan sahaja. Mereka kena lihat orang bawah, ambil tahu suara akar umbi.”

Ketua Pemuda Petaling Selatan, Fariq Azwan Rahmat pula berkata masalah Umno dulu ialah putus komunikasi antara orang atasan dan akar umbi parti.

Ketua Pemuda Umno Petaling Selatan, Fariq Azwan Rahmat.

“Masalah Umno ialah perpaduan. Pemimpin atasan mempunyai ‘level’ untuk berjumpa dengan akar umbi. Ini perlu diperbetulkan,” katanya ketika ditemui di mesyuarat tahunan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata pemimpin baru perlu lebih terlibat dengan akar umbi jika mahu mengubah parti. “Pemimpin perlu mencorakkan orang bawahan untuk menjadikan Umno parti yang kuat.”

Ketua Pemuda Petaling Utara, Raimi Jamaluddin pula berkata pemimpin Umno perlu membuat keputusan berdasarkan data-data yang nyata, seperti pilihan raya lepas menyaksikan saluran orang muda iaitu saluran 3, 4 dan 5 menolak Umno.

Ketua Pemuda Umno Petaling Utara, Raimi Jamaluddin.

“Kita perlu berdaya saing dengan kerajaan baru dan Umno perlu ubah persepsi buruk terhadap parti,” katanya.

Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan memilih kepimpinan peringkat bahagian dan pusat menerusi 2 kertas undi berbeza dalam mesyuarat berasingan yang berlangsung semalam.

Bagi Pergerakan Pemuda Umno, seramai 207 calon bertanding dengan pecahan 2 pengerusi tetap, 3 timbalan pengerusi tetap, 9 bagi jawatan ketua Pemuda dan 9 lagi bagi jawatan naib ketua Pemuda manakala selebihnya adalah calon untuk jawatankuasa.

9 individu disenaraikan bertanding merebut jawatan ketua Pemuda termasuk naib ketua Pemuda Khairul Azwan Harun, anggota Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki, ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta ketua Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Keputusan pemilihan Ketua dan Naib Ketua Sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bagi sesi 2018-2021 hanya akan diumumkan pada 5 petang ini.