Ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno, BN, sokong PH

Noor Azmi berkata beliau membuat keputusan tersebut setelah setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya serta kepentingan agama, bangsa dan negara.

BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini mengumumkan keluar Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen itu atas tiket BN pada pilihan raya umum 9 Mei lepas dengan majoriti 172 undi, turut mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

“Buat masa ini saya menjadi Ahli Parlimen bebas…dan insya-Allah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya beliau membuat keputusan tersebut setelah setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya serta kepentingan agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga pengerusi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berjanji akan terus memperjuangkan isu rakyat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Datuk Sham Mat Sahat berkata pihaknya kecewa dengan keputusan Noor Azmi keluar parti setelah rakyat memilihnya pada pilihan raya umum lepas.

“Saya harap Dr Noor Azmi mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenanginya bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan,” katanya.