Asyraf Wajdi, Noraini, Zahida pemenang ketua Pemuda, Wanita, Puteri

Noraini dan Asyraf bergambar bersama naib ketua masing-masing, Norliza Rahim (kiri) dan Shahril Hamdan (kanan) selepas pengumuman kemenangan.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad dan Zahida Zarik Khan diumum pemenang pemilihan ketua Pemuda, Wanita dan Puteri yang selesai hari ini.

Kemenangan mereka akhirnya diumumkan Setiausaha Kerja Datuk Seri Ab Rauf Yusof pada sidang media di Auditorium Umno, Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi selepas tertangguh sejak 5.00 petang tadi.

Mereka akan menggalas tanggungjawab jawatan itu bagi penggal 2018-2021.

Asyraf diumumkan sebagai pengganti Khairy Jamaluddin selepas mengalahkan 7 pencabar lain dan pesaing terdekat, Senator Khairul Azwan Harun.

Beliau digandingkan dengan Naib Ketua Shahril Suffian Hamdan yang juga mengalahkan 8 pesaingnya.

Noraini mengantikan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selepas bersaing hebat dengan Datuk Azizah Mohd Dun dan seorang pencabar lain.

Beliau digandingkan dengan Naib Ketua Norliza Abdul Rahim yang menewaskan 3 pesaingnya.

Di sayap Puteri pula, Zahida berjaya menewaskan seorang pencabar, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Beliau digandingkan dengan Naib Ketua Nurul Amal Mohd Fauzi yang mengalahkan 4 calon lain.

Sebanyak 191 bahagian mengundi untuk ketiga-tiga sayap dalam pemilihan Umno kali ini.