Keluarga: Anwar jalani rawatan penting, tidak terima pelawat

Pihak keluarga diminta untuk tidak menerima kunjungan pelawat kerana Anwar sedang menjalani rawatan penting dan berada dalam tempoh pemerhatian. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Keluarga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata doktor kini sedang memantau dan menilai keadaan pemimpin itu setelah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam tadi kerana kecederaan tulang belakang dialaminya.

“Kini pihak doktor sedang memantau dan menilai keadaan beliau,” kata keluarga pemimpin itu dalam satu kenyataan 4 peranggan pagi ini.

Kenyataan itu juga menyebut keluarga Anwar sedang bersama beliau dan merakamkan kesyukuran atas doa, sokongan dan keprihatinan semua pihak berhubung keadaan kesihatan beliau.

Dalam pada itu katanya pihak keluarga diminta untuk tidak menerima kunjungan pelawat kerana Anwar sedang menjalani rawatan penting dan berada dalam tempoh pemerhatian.

“Pihak keluaga dinasihati dan diminta tidak menerima kunjungan pelawat buat masa ini. Ini kerana beliau (Anwar) sedang menjalani rawatan penting dan masih berada dalam tempoh mpemerhatian,” kata kenyataan itu.

Anwar dikejarkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sakit di bahu kanan dan bahagian belakang beliau selepas kembali dari lawatannya ke Turki Khamis lepas.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Anwar dikejarkan dari rumahnya di Segambut dengan ambulans ke wad kecemasan PPUM.