Ketua Wanita Umno baru mahu teruskan legasi parti

Noraini berkata gerakan memperkuatkan wanita akan dibuat sekarang. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno yang baru, Datuk Noraini Ahmad mahu meneruskan dan memperkuatkan legasi Umno dan berjanji Wanita akan bekerja keras bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata bagi mencapai tujuan itu, Wanita, sebagai tulang belakang Umno, perlu diperkuatkan bermula sekarang.

“Kita kena akui yang kita perlu rapatkan saf. Ia mesti erat bertaut kembali. Legasi yang kita ada sebelum ini perlu diteruskan dan diperkuatkan. Kita kena sedar Umno dan Barisan Nasional bukan lagi kuat seperti dulu. Jadi gerakan memperkuatkan Wanita dan parti ini akan dibuat sekarang, “ katanya pada sidang media bersama barisan kepimpinan sayap baru di ibu pejabat Umno hari ini.

Beliau menambah Wanita Umno perlu bergerak dari sekarang untuk melaksanakan satu pelan untuk 5 tahun akan datang.

Noraini diumumkan pemenang dalam persaingan merebut jawatan ketua Wanita menewaskan 2 pencabar lain, termasuk pesaing terdekat Datuk Azizah Mohd Dun. Beliau digandingkan dengan Naib Ketua Norliza Abdul Rahim.

Terdahulu, pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambarkan pemilihan parti yang selesai hari ini sebagai “ibu segala demokrasi”, dan langkah pertama menuju pembaharuan Umno.

Sebelum ini, FMT melaporkan bekas ketua pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata budaya dalam Umno menghalang wanita bertanding jawatan tertinggi parti, mengulas cadangan calon presiden Khairy Jamaluddin yang mahu satu jawatan naib presiden dikhaskan untuk wanita.

Bekas ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata pemerkasaan wanita dalam parti perlu dilakukan sekarang, dan mencadangkan jawatan naib ketua bahagian juga dikhaskan untuk wanita.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/23/pemerkasaan-wanita-umno-perlu-dilakukan-sekarang-kata-shahrizat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/06/23/hanya-kepura-puraan-untuk-wanita-umno-kata-bekas-pemimpin-negeri/