Ku Li: Semua calon saya sokong menang

Tengku Razaleigh mendakwa calon sokongannya merupakan pemimpin baru sayap Umno.

KUANTAN: Pemimpin baru yang terpilih dalam pemilihan 3 sayap parti semalam berkemampuan menghidupkan semula Umno, kata pemimpin veteran parti itu Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun nama mereka belum diumumkan secara rasmi, Tengku Razaleigh yang bertanding merebut jawatan presiden Umno berkata, beliau gembira kerana calon yang disokongnya memenangi pemilihan tersebut.

“Mereka yang menang merupakan calon sokongan saya. InsyaAllah ini akan memberi nafas baru kepada parti,” katanya.

Beliau ditemui pada program anjuran Umno Pahang di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Anggota Majlis Terttinggi Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan memenangi jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia mengalahkan 7 calon lain.

Bagi sayap Puteri, jawatan tertingginya dimenangi oleh bekas timbalan ketua pergerakan itu, Datuk Zahida Zarik Khan.

Keputusan rasmi pemilihan dijangka diumumkan 7 malam ini.