Mana mesyuarat ketua-ketua BN selepas kalah, soal Ku Li

Tengku Razaleigh tertanya sampai bila masalah akan dibiarkan berterusan. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Calon presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah memandang serius tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) meninggalkan gabungan itu tanpa perbincangan antara pemimpin-pemimpin komponen parti dalam BN.

Beliau berkata ia diburukkan lagi dengan tindakan wakil rakyat Umno sendiri yang keluar dari parti tanpa merujuk kepimpinan tertinggi parti.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku…patut buat mesyuarat tapi kita tak ada dengar tentang mesyuarat antara para pemimpin parti-parti komponen BN untuk bercakap soal masa depan BN lepas kalah dalam pilihan raya baru-baru ini.

“Tiba-tiba kita dengar parti itu parti ini keluar daripada BN. Memang dia ada hak nak menarik diri tapi sekurang-kurangnya perlu ada perbincangan.

“Hari ni wakil rakyat dari Umno sendiri keluar dari parti. Ini perkara serius, takkan kita nak biar perkara ini dibiarkan berterusan?

“Mesti kita nak bincang dan tengok apakah masalah yang dihadapi oleh mereka kerana mereka adalah wakil rakyat kita, mewakili beribu-ribu pengundi bawa suara Umno, perjuangan Umno…takkan nak berpeluk tubuh biarkan orang memutuskan sikap sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra bersama pemimpin Umno Terengganu hari ini.

Parti Gerakan 2 hari lepas mengumumkan keputusan keluar BN untuk mencari hala tuju baru sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang.

Manakala Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali hari ini mengumumkan keluar Umno dan BN dan menyokong Pakatan Harapan.

Tengku Razaleigh berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ada pihak tertentu ketika ini sedang cuba mempengaruhi 53 wakil rakyat Umno yang menang pada PRU 14 untuk keluar parti.

Ditanya sama ada beliau sedia memberikan tempat kepada pesaingnya sekiranya menang sebagai presiden Umno pada pemilihan Sabtu ini, beliau sedia bekerjasama dengan mereka untuk terus memperkasakan parti.