Pemandu ditemui mati: Grab Malaysia rakam takziah

Grab meminta jasa baik semua pihak supaya tidak mengongsi maklumat peribadi mangsa dalam ruang awam seperti media sosial atau berkongsi spekulasi dan khabar angin mengenai kejadian yang berlaku.

PETALING JAYA: Grab Malaysia hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pemandunya yang ditemui mati dalam keretanya malam tadi dan menyifatkan mangsa pemandu pemandu terbaik dan berdedikasi berdasarkan maklum balas penumpang.

Dalam kenyataan kepada FMT, ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata Aiman Nosri, 27 sangat dihargai oleh penumpang beliau.

“Beliau merupakan pemandu yang berdedikasi dan terbaik berdasarkan maklum balas penumpang, dan sangat dihargai oleh pelanggan beliau,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu Grab meminta jasa baik semua pihak supaya tidak mengongsi maklumat peribadi mangsa dalam ruang awam seperti media sosial atau berkongsi spekulasi dan khabar angin mengenai kejadian yang berlaku.

Kenyataan itu juga berkata Grab sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa kerana keselamatan pemandu adalah sama pentingnya dengan keselamatan penumpang, dan meminta sesiapa mempunyai maklumat tentang kejadian menghubungi pihak berkuasa secara langsung.

Dalam kejadian malam tadi Aiman ditemui mati dipercayai akibat dibunuh dengan kesan jerutan pada leher dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Tey Kong Seng berkata mangsa ditemui dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta kira-kira 8.20 malam.

“Mangsa ditemui tertungkup di mana kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki ke atas.

“Pemeriksaan polis turut mendapati terdapat kesan melecet pada leher mangsa namun tiada sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru pada pukul 9.34 malam Khamis lepas.

Pemandu Grab ditemui mati dalam kereta