Pemandu Grab ditemui mati dalam kereta

Pemeriksaan polis turut mendapati terdapat kesan melecet pada leher mangsa namun tiada sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu Grab ditemui mati dipercayai akibat dibunuh dengan kesan jerutan pada leher dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Tey Kong Seng berkata mangsa Aiman Nosri, 27, ditemui dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta kira-kira 8.20 malam.

“Mangsa ditemui tertungkup di mana kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki ke atas.

“Pemeriksaan polis turut mendapati terdapat kesan melecet pada leher mangsa namun tiada sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor menemukan 2 telefon bimbit, sepasang kasut berserta stokin, sepasang selipar dan sehelai baju di dalam kereta berkenaan.

Tey berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru pada pukul 9.34 malam Khamis lepas.