Pulau Pinang komited jadi negeri paling bersih, hijau, kata Chow

Chow Kon Yeow berkata Agenda Hijau Pulau Pinang bertujuan menggubal strategi mengguna pakai serta membina komuniti berdaya tahan untuk menyahut cabaran alam sekitar pada masa hadapan. (Gambar Buletin Mutiara)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan terus komited menjadikan negeri itu bandar raya terbersih dan mencapai kualiti kehidupan terbaik, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow.

Chow berkata kerajaan negeri akan memulakan inisiatif baru menjadikan Pulau Pinang negeri paling hijau dan bersih di negara ini serta menjadi pusat ekonomi yang hebat melalui semangat kesukarelaan menerusi usahasama dengan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan negeri melalui kesinambungan inisiatif Hijau, Selamat dan Sihat sepanjang 10 tahun ini cuba dengan sedaya upaya membawa kepada perubahan dan minda untuk mengamalkan budaya yang bersih, hijau supaya kita dapat menangkis gelaran negeri ‘Pulau Pinang Darul Sampah’ yang diberikan satu ketika dulu,” katanya selepas merasmikan program “PlogClean” peringkat negeri, hari ini.

Chow berkata beliau yakin Pulau Pinang dapat mencapai pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar tanpa mengorbankan alam sekitar untuk tujuan pembangunan.

“Kerajaan Pulau Pinang sentiasa berusaha merealisasikan visi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang bersih, hijau, selamat, sihat dan ceria. Ini merupakan satu respons kepada isu perubahan iklim dan paradigma pembangunan mampan yang berubah,” katanya.

Beliau berkata Agenda Hijau Pulau Pinang (2018-2030) bertujuan menggubal strategi bagi mengguna pakai serta membina komuniti berdaya tahan untuk menyahut cabaran alam sekitar pada masa hadapan, yang merangkumi matlamat pembangunan lestari.