Apa? Ini ‘Malaysia barulah’, Guan Eng pertahan guna Mandarin dalam kenyataan kerajaan

Lim berkata, Malaysia baru merupakan sebuah negara inklusif, saling menghormati dan pelbagai.

PETALING JAYA: Menteri Kewangan,Lim Guan Eng hari ini merujuk Perlembagaan Persekutuan bagi mempertahankan penggunaan bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi kementerian beliau selepas didakwa tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam satu kenyataan berbahasa Mandarin, setiausaha agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa berkenaan melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, tiada mana-mana orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Atas semangat perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?”, tanya beliau.

Menyifatkan para pengkritiknya bersikap “perkauman”, Lim berkata beliau tidak akan tunduk kepada mereka.

“Kenyataan menteri kewangan akan terus dikeluarkan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris,” katanya.

“Malaysia baru merupakan sebuah negara yang inklusif, saling menghormati dan pelbagai. Pada saat kita memelihara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita juga perlu menguasai bahasa lain bagi meningkatkan kebolehsaingan kita.”

Walaupun ada pembaca Facebook yang menyokong beliau, tetapi ramai yang menyifatkan pemimpin DAP itu telah melampaui batas.

“Mesej anda mensasarkan penutur bahasa Mandarin, tetapi anda adalah menteri kewangan sekarang, yang mewakili semua rakyat di negara ini. Rakyat menyaksikan perkembangan ini dan mereka yang tidak memahami mesej tersebut berasa terhina dan tertinggal.

“Orang yang tidak menyukai anda hanya menunggu peluang untuk menjatuhkan anda,” kata pengguna Facebook, Lee Hann Min.

“Kita rakyat Malaysia, jadi untuk kenyataan rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa pertama, diikuti bahasa Inggeris.

Pandangan itu turut disokong oleh Ameer Ali Mydin, pemilik rangkaian pasar raya Mydin.

“Semua kenyataan yang dikeluarkan di Malaysia mestilah dibuat dalam bahasa Melayu, diikuti bahasa Inggeris dan bahasa lain jika perlu.

“Jika anda berada di London, saya percaya ia akan dikeluarkan dalam bahasa Inggeris dahulu, kemudian diterjemahkan ke bahasa lain, sama ada Melayu, Mandarin atau Perancis dan sebagainya. Jika anda di China, dalam sidang media, ia akan dikeluarkan dalam bahasa Mandarin terlebih dahulu, kemudian Inggeris,” kata usahawan runcit itu.