Dicampak dari tingkat 2, bayi kini kritikal di hospital

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata menurut saksi, perkara itu disedari apabila terdengar dentuman kuat di bahagian belakang restorannya.

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berada dalam keadaan kritikal setelah dipercayai dicampak dari tingkat dua sebuah bangunan di Pusat Hentian Kajang semalam.

Dalam kejadian 5.00 petang itu, bayi lelaki yang masih bertali pusat dan tidak berpakaian itu ditemui seorang pemilik restoran berhampiran lokasi bayi itu dibuang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah berkata menurut saksi berkenaan, perkara itu disedari apabila terdengar dentuman kuat di bahagian belakang restorannya.

“Hasil pemeriksaan saksi mendapati terdapat seorang bayi lelaki yang ditemui di atas jalan di belakang kedai bersebelahan perancah pembinaan,” katanya.

Sejurus itu, saksi membawa bayi berkenaan ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Kajang.

Mohd Sabri berkata bayi berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Beliau berkata susulan kejadian itu, pihaknya menahan seorang wanita warga asing pada 11.30 malam pada hari sama di perkarangan Hospital Kajang.

“Penahanan wanita itu bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya.

Mohd Sabri berkata wanita itu kini direman 7 hari sehingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi berkenaan.