Gerakan mesti kembali kepada akarnya, kata anak pengasas

Masalah utama apabila Gerakan meninggalkan BN sekarang, maka ia mendedahkan dirinya kepada persoalan tentang tujuan sebenarnya berbuat demikian. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli sosiologi, Dr Syed Farid Alattas menasihati Gerakan supaya kembali kepada idea asal para pengasas parti tersebut, iaitu sebagai sebuah parti berbilang kaum yang mengimbangkan antara cita-cita liberal dan sosialis.

Nasihat itu dikemukakan berikutan pengumuman jawatankuasa pusat parti itu bahawa Gerakan akan meninggalkan Barisan Nasional dan berfungsi sebagai sebuah parti pembangkang bebas

Dr Syed Farid Alattas.

Syed Farid adalah anak Dr Syed Hussein Alattas yang merupakan salah seorang pengasas parti itu pada 1968, berkata Gerakan menunjukkan integriti tinggi pada zaman awal penubuhannya.

“Mereka perlu melihat kembali falsafah awal pengasasnya. Setelah itu mereka boleh merangka pelan berkesan sebagai parti pembangkang,” kata profesor di Universiti Nasional Singapura itu kepada FMT.

Beliau berkata, Gerakan sepatutnya meninggalkan BN lebih awal dan keputusan meninggalkannya sekarang terlewat beberapa tahun.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan sewaktu BN dan Umno dilihat sebagai parti korup dan perkauman, Gerakan masih kekal bersama gabungan politik itu,” katanya.

Katanya, masalah utama apabila Gerakan meninggalkan BN sekarang, maka ia mendedahkan dirinya kepada persoalan tentang tujuan sebenarnya berbuat demikian.

“Soalnya, apakah komitmen sebenar mereka. Sukar untuk mereka membina semula parti tersebut,” katanya.

Bagaimanapun katanya, entiti politik seperti Gerakan masih perlu memperkukuhkan dirinya kerana negara memerlukan pembangkang berwibawa bagi menghadapi kerajaan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum lepas.

“Malaysia memerlukan parti pembangkang yang berkaliber dan bermoral. Pada masa ini tidak ada sebuah pun parti pembangkang sedemikian,” katanya.

“Gerakan dan Umno perlu memperbaharui diri masing-masing dan membuat perubahan dasar yang memerlukan pemimpin baru dengan nilai yang tepat.”

Syed Hussein Alattas, yang merupakan profesor di Universiti Nasional Singapura atau NUS ketika itu, merupakan pengasas parti Gerakan sebelum beliau diganti oleh pengasas-bersama parti itu, Dr Lim Chong Eu, bekas presiden MCA dan parti United Democratic Union yang sudah tidak ada lagi.

Pengasas lain parti itu ialah bekas pemimpin Parti Buruh Dr David Tan Chee Khoon, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr JBA Peter, profesor Universiti Malaysia Wang Gungwu dan peguam V Veerapan yang juga pernah memimpin Parti Buruh.

Setahun selepas penubuhannya Gerakan berjaya memenangi kerajaan Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 1969 dengan Lim menjadi ketua menteri sehingga 1990.

Gerakan menyertai Perikatan, pendahulu gabungan politik BN, pada 1972.