Muhyiddin tak patut campur tangan kes Siti Kasim, kata peguam

Zainul Rijal Abu Bakar berkata proses undang-undang sewajarnya tidak patut diabaikan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam tidak bersetuju dengan gesaan agar Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam kes aktivis dan peguam Siti Kasim yang ditangkap susulan dakwaan beliau menculik anak guamnya dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas.

Mengatakan ia bertentangan dengan janji kerajaan baharu untuk menegakkan “peraturan undang-undang”, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu FMT, gesaan sedemikian memberi isyarat bahawa proses undang-undang sewajarnya boleh diabaikan.

“Ini tidak wajar. Semua orang, termasuk eksekutif, mesti membiarkan proses undang-undang yang sewajarnya berlaku.”

Zainul berkata fakta kes itu perlu disiasat dan dijelaskan terlebih dahulu.

“Jika terdapat salah guna kuasa polis, Siti harus membawanya ke mahkamah untuk menentukannya. Saya yakin seorang peguam seperti dia juga tidak mahu eksekutif campur tangan dalam sebarang proses penyiasatan sama ada untuk atau terhadapnya.”

“Siti mempunyai banyak jalan untuk mendapatkan bantuan undang-undang, tetapi ia tidak sepatutnya meminta menteri dalam negeri untuk campur tangan.”

Zainul berkata jika menteri dalam negeri dibenarkan menentukan tindakan polis, maka Malaysia tidaklah lebih baik berbanding sebelum ini.

“Sekiranya polis mengambil tindakan yang tidak mengikut undang-undang, maka mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan pengadilan.”

Sementara itu, seorang lagi peguam, Shaharudin Ali mempunyai pandangan yang berbeza dan mempersoalkan kebisuan Kabinet.

“Nampaknya terdapat ketidakpedulian terang-terang terhadap peraturan undang-undang dan prosedur jenayah. Mereka yang mengambil bahagian dalam serbuan rumah Siti mesti berdepan tindakan undang-undang.

Siti, menurut Shaharudin harus memulakan prosiding terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Awal hari ini, Siti melahirkan harapan agar menteri dalam negeri akan meneliti tindakan polis yang disifatkan sebagai “menindas”, selepas polis menyerbu rumahnya pada malam Sabtu lalu.

Ia selepas laporan yang dibuat terhadapnya kerana didakwa menculik anak guamnya, satu pertuduhan, yang dinafikannya.

Siti ditahan di ibu pejabat polis Kajang pada Sabtu dan dibebaskan semalam selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadapnya atas dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Kenapa saya nak culik anak guam sendiri, soal Siti Kasim