Pengunjung gempar, pusat hiburan Bukit Bintang dihujani 25 das tembakan

Tembakan itu dilepaskan dikatakan sebagai tanda amaran akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Orang ramai dan pelanggan di sekitar sebuah pusat hiburan bertaraf 4 bintang gempar apabila 25 das tembakan dilepaskan dalam satu kejadian di Bukit Bintang pada kira-kira 10.50 malam tadi.

Menurut mereka yang ditemui di tempat kejadian, tembakan itu dilepaskan mungkin sebagai tanda amaran kerana perselisihan faham berkaitan perniagaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati tembakan itu dilepaskan ke arah pintu masuk pusat hiburan berkenaan oleh 2 orang yang menaiki sebuah motosikal.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan percakapan seorang saksi, dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dari arah tempat letak kereta ketika sedang berada di luar pintu masuk pusat hiburan itu.

“Hasil pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian mendapati 25 kelongsong peluru ditemui di tempat letak kereta yang berada kira-kira 30 meter dari pintu masuk pusat hiburan itu,” katanya.

Rusdi berkata ketika kejadian terdapat 4 pekerja di luar pintu masuk dan bahagian menyambut tetamu.

Polis masih melakukan siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian dan mereka yang terbabit.