PPBM lebar sayap ke Sarawak, kata Dr M

PETALING JAYA: Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti itu akan melebarkan sayapnya ke Sarawak, seperti parti lain dalam Pakatan Harapan.

Perdana menteri berkata, ada permintaan akar umbi yang mahu parti itu membuka cawangan di negeri itu.

“Keputusan dibuat supaya kita ambil kira ahli kita yang tidak begitu banyak, kita perlu buat perubahan dalam susunan parti. Kita berpendapat mungkin akan pergi ke Sarawak.

“Namun, ia belum diputuskan lagi kerana parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan sudah ada di Sarawak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM, hari ini.

Dr Mahathir berkata, PPBM tidak akan membuka cawangan dan bahagian di Sabah demi menghormati kedudukan Parti Warisan Sabah.

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah jika akar umbi Umno mahu menyertai PPBM, tetapi mereka akan melakukan pemilihan terhadap pemimpin Umno yang berminat menyertai parti itu.

“Pemimpin dan wakil rakyat kita akan buat pilihan tertentu, sama ada boleh terima atau tidak sebagai ahli PPBM.”

Dr Mahathir turut menjawab soalan media dalam isu lain:

Mengenai Datuk Ismail Kassim dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sertai PPBM:

Kita belum buat apa-apa keputusan mengenai adik Datuk Seri Shahidan Kassim dan mesyuarat hari ini tidak bincang pun. (Ahli Parlimen) Bagan Serai (Azmi) pun kita belum lagi buat keputusan.

Mengenai Lim Guan Eng bertegas guna bahasa Cina dalam kenyataan rasmi:

Ia adalah kesilapan kecil, saya tidak mahu jadikan ia sebagai isu, kadangkala kesilapan berlaku. Untuk perkara ini, dia akan keluarkan kenyataan bahasa Cina untuk pembaca berbangsa Cina.

Pengumuman senarai penuh anggota Kabinet:

Majlis angkat sumpah akan diadakan tidak lama lagi. Nama-nama menteri sudah diputuskan.

Pertemuan dengan Kumpulan Geely dari China Jumaat lalu:

Ia sangat menarik, Encik Lee tanya saya apa yang Malaysia mahukan, jadi saya jelaskan Malaysia sudah bersama Geely, tapi saya mahu Malaysia terlibat dalam pembekalan bahan komponen. Kami mahu dia bawa pengilang dari China bantu Malaysia, jika tidak bahan komponen akan dibawa dari negara lain.

Mengenai laporan Tan Sri Vincent Tan menjadi pemegang saham T7 Global Bhd dan kaitannya dengan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL):

Saya tidak tahu dia adalah salah seorang pemegang saham, jadi tidak boleh komen.

Adakah projek ECRL akan diteruskan:

Masalahnya adalah kos pembinaan terlalu tinggi, ia dirunding kerajaan terdahulu, terma-termanya tidak berapa bagus, semuanya perlu rundingan lain.

Jika ada terma lain yang lebih baik, maka kita akan teruskan. Banyak kesalahan dilakukan seperti pinjaman RM55 bilion dari China, kontrak diberikan kepada syarikat China, pekerja juga dari China, jadi apa yang tinggal untuk Malaysia?

Mengenai isu air dengan Singapura:

Ia bukan terlalu mendesak, banyak masalah lain lagi kita kena tumpukan, (isu) itu kemudian.