Putrajaya kaji mekanisme beli ubat pukal kurangkan harga ubat

Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya sedang meneliti cadangan mendapatkan perolehan ubat dan bahan pakai buang terus dari pengilang atau pembekal untuk menangani isu monopoli.

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan melaksanakan mekanisme perolehan ubat secara pukal untuk menangani isu monopoli yang boleh menyebabkan kenaikan kos ubat dibekalkan kepada hospital kerajaan di seluruh negara.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata konsep perolehan pukal bagi farmaseutikal dapat meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan pembeli dan harga ubat boleh dikurangkan.

“Kalau kita buat perolehan ubat secara pukal, kita akan mempunyai kuasa ‘bargaining’ dan ‘negotiation’ lebih baik dan kos ubat-ubatan akan turun,” katanya selepas ceramah “Rakyat Sebagai Tenaga Untuk Negara” di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Dzulkefly sebelum ini berkata, langkah mengkaji semula semua perjanjian konsesi sedia ada kepada hospital kerajaan adalah mengoptimumkan rantaian bekalan dan memastikan situasi “menang-menang” bagi semua pihak.

“Kontrak tersebut, semuanya sedang dikaji semula dalam usaha mencapai pengoptimuman rantaian bekalan dan mendapatkan nilai lebih baik. Kerajaan komited untuk mencapai ini.”

Ditanya sama ada kerajaan bercadang mendapatkan perolehan ubat dan bahan pakai buang terus dari pengilang atau pembekal untuk menangani isu monopoli, beliau berkata, kementeriannya sedang meneliti perkara itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan kepada Kementerian Kesihatan dari 2013 hingga 2016.

Beliau turut menyerahkan 13 dokumen setebal 150 muka surat yang mengandungi nama pemimpin politik, pegawai kanan Kementerian Kesihatan dan individu mempunyai hubungan dengan ahli politik yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah bagi 3 syarikat farmaseutikal.

Dzulkefly berkata, kementerian mengalu-alukan siasatan SPRM mengenai perkara itu.