Ramasamy pertahankan kenyataan bahasa Cina Guan Eng

P Ramasamy yakin Lim Guan Eng tidak berniat tidak menghormati bahasa Melayu dengan mengeluarkan kenyataan rasmi berbahasa Cina. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mempertahankan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan media berbahasa Cina di Facebooknya baru-baru ini.

Penggunaan bahasa Cina oleh Lim menjadi perdebatan sama ada beliau melanggar prosedur tidak menggunakan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sebagai seorang menteri persekutuan.

Ramasamy berkata, tindakan Lim bukan bertujuan menyakitkan hati mana-mana pihak dan beliau pernah melakukan perkara sama ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

“Beliau bukannya jahil bahasa. Beliau sudah mengeluarkan kenyataan dalam BM, bahasa Inggeris dan Cina. Saya yakin beliau menerima BM sebagai bahasa kebangsaan dan tidak berniat untuk bersikap tidak menghormati (BM).

“Apa yang menghairankan? Saya rasa tindakan memperbesarkan perkara kecil ini ialah kerja orang Umno.

“Juga, kenapa kritik bahasa Mandarin? Mungkin saya patut hubungi Guan Eng untuk menterjemah kenyataannya dalam bahasa Tamil juga,” katanya kepada FMT.

Ramasamy menggesa semua pengkritik melihat gambaran lebih besar dan tidak dijejaskan kenyataan kecil berbaur perkauman oleh sesetengah pihak.

Pelbagai pihak, termasuk pemimpin Umno membidas Lim tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi setiausaha agung DAP itu mempertahankan tindakannya dengan berkata, ia melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

Beliau turut merujuk Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain.

Lim turut menyifatkan pengkritiknya bersikap “perkauman” dan bertegas tidak akan tunduk kepada kritikan mereka.

Lim kemudiannya dalam satu kenyataan petang tadi berkata, “Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah dipertikaikan”.

Katanya, Kenyataan rasmi bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin jika ada keperluan, khasnya apabila ada isu membabitkan terma teknikal.