Sabah tak denda pelancong menari di tembok masjid

Dua pelancong dirakam menari di tembok pagar Masjid Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa di Sabah sedang mengesan 2 pelancong wanita dipercayai warga asing yang dirakam menari secara tidak sopan di atas tembok pagar Masjid Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew berkata kerajaan tidak akan mengenakan hukuman keras ke atas mereka, tetapi beliau menekankan tindakan 2 wanita itu tidak boleh diterima.

Liew yang juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pengurusan masjid itu untuk memasang papan tanda mengenai perkara yang perlu dipatuhi pelancong menggunakan bahasa mudah difahami.

Kementerian itu juga akan mengeluarkan surat pekeliling kepada pengusaha pelancongan bagi memastikan pelanggan mereka berkelakuan baik.

Katanya, beliau tahu sesetengah pihak cuba mengaitkan kejadian itu dengan kes kelakuan tidak senonoh di Gunung Kinabalu pada 2015 apabila sekumpulan pelancong asing berbogel dan membuang air kecil di atas gunung itu.

Empat daripadanya ditahan sebelum mereka didenda dan dihantar pulang ke negara mereka.

Tetapi, Liew berkata, pihak berkuasa tidak akan mendakwa 2 pelancong wanita itu.

“Kita tidak mahu mengambil tindakan drastik, tetapi kita masih perlu mengingatkan mereka ini bukan kelakuan yang boleh diterima,” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dengan Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan hari ini.

“Kita tidak mahu perkara sama berlaku lagi. Kita hanya perlu memberi peringatan kepada mereka. Penting untuk pasang papan tanda di sana untuk beritahu pelancong tidak berbuat demikian.

“(Ini) juga untuk mengingatkan pengusaha pelancongan apabila mereka membawa pelancong ke mana-mana rumah ibadat, bukan hanya masjid ini, yang pelancong tidak patut berkelakuan tidak sopan.”

Katanya, papan tanda dalam 2 atau 3 bahasa akan dipasang untuk mengingatkan pelancong dan pengusaha pelancongan perlu bertanggungjawab terhadap insiden itu.

“Pengusaha pelancongan perlu mengingatkan pelancong. Kami masih cuba mengenal pasti pengusaha pelancongan itu kerana mereka (pelancong) mungkin tidak tahu, mereka mungkin fikir ini kelakar, tetapi mereka perlu menunjukkan rasa hormat.

“Saya berharap kejadian baru-baru ini menjadi ‘pembuka mata’ dan tidak berlaku lagi pada masa depan.”

Semalam, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal Alian dalam satu kenyataan mengutuk tindakan di luar batas dan tidak sesuai 2 pelancong wanita itu.

Ini susulan video 9 saat yang tersebar di media sosial menunjukkan 2 wanita berbaju dan seluar pendek itu menari di atas tembok pagar Masjid Kota Kinabalu.

Berikutan itu, pihak pengurusan masjid itu mengeluarkan larangan sementara kepada semua pengunjung warga asing.

Setiap hari, hampir 1,000 pelancong melawat masjid itu yang merupakan satu daripada lokasi mesti dilawati di Kota Kinabalu.

Sabah selar pelancong menari di tembok masjid