Saman Dr M berhubung laporan RCI pada 28 Ogos

Peguam Dr M berkata pihaknya masih belum berjumpa Dr Mahathir dan masih menunggu arahan anak guam kami sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya. (Reuters pic)

KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum mendapat arahan sama ada meneruskan atau menarik balik saman bagi membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing oleh Bank Negara Malaysia pada 1990-an.

Peguam Mohd Irzan Iswatt Mohd Noor mewakili Dr Mahathir berkata peguam utama Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang juga mewakili perdana menteri belum dapat bertemu dengan anak guamnya bagi mendapat arahan lanjut berhubung kes saman berkenaan difailkan Disember lalu.

“Pihak kami masih belum berjumpa Dr Mahathir, kita masih menunggu arahan anak guam kami sama ada mahu meneruskan kes atau sebaliknya,” katanya.

Mohd Irzan menghadiri prosiding pengurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi hari ini juga memberitahu mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk pendengaran permohonan bantahan awalan daripada pihak defendan.

“Pada tarikh itu (28 Ogos), kami akan memaklumkan kepada hakim sama ada mahu meneruskan kes atau menarik balik. Kalau hendak teruskan, kami akan teruskan pada hari itu juga (28 Ogos) kerana hujahan difailkan,” katanya kepada pihak media di Mahkamah Tinggi.

Prosiding itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob yang mewakili kesemua defendan iaitu pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota RCI iaitu Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K Pushpanathanan, Datuk Dr Yusof Ismail, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, anggota Kabinet dan kerajaan.

Pada awal Disember 2017, Dr Mahathir memfailkan saman memohon pengisytiharan laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia itu tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi dan nota prosiding.

Dalam saman itu, Dr Mahathir memohon pengisytiharan laporan RCI itu tidak sah, tidak lengkap dan tidak terpakai kerana tidak mengandungi nota prosiding, hujah bertulis dan hujah lisan melalui transkripsi atau rakaman video.

Beliau juga memohon pengisytiharan mana-mana laporan oleh RCI yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah dari segi undang-undang dan terpakai jika ia mengandungi semua kenyataan bertulis oleh saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, nota prosiding dan dapatan.