Tak salah pertikai perbelanjaan istana, kata Rais

Rais Yatim berkata, wang yang dibelanjakan di Istana Negara adalah wang rakyat, bukannya disumbang punca lain. (Gambar fail)

BANGI: Bekas menteri persekutuan, Tan Sri Rais Yatim mempertahankan bekas editor, Datuk A Kadir Jasin mempertikaikan perbelanjaan Istana Negara dan tindakan itu tidak mencemarkan imej Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, katanya, dana disatukan untuk perbelanjaan Agong datang daripada wang rakyat dan bukan dibelanjakan beliau, tetapi mereka yang bertanggungjawab menguruskan wang itu.

“Duit yang dibelanjakan di istana adalah duit rakyat, bukan duit yang disumbang dari punca lain.

“Setiap sen yang dibelanja mestilah dengan hemah, dengan tanggungjawab.”

Dalam konteks ini, Rais berkata, tidak salah Kadir mempersoalkan perbelanjaan Istana Negara yang didakwa melebihi RM250 juta.

“Yang membelanjakan itu orang bawah, iaitu kerani misalnya ataupun akauntannya di situ yang menentukan apa yang perlu dibelanjakan.”

Katanya, mungkin Sultan Muhammad V tidak meminta apa-apa, tetapi mereka yang menguruskan dana itu membelanjakan lebih banyak wang daripada sepatutnya.

Pada 7 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Kadir disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung catatan di blognya menegani perbelanjaan Agong.

Tiga laporan polis dibuat terhadap ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM itu selepas beliau mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Agong.

Bekas ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan itu menerusi blog peribadinya mendakwa secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara.

Susulan itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu dengan berkata, rakyat perlu mempunyai rasa hormat kepada raja Melayu dan menyuarakan pandangan secara tertib.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, tiada keperluan untuk orang ramai bimbang dengan kedudukan raja Melayu kerana Perlembagaan berkaitan raja Melayu, hak dan kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera di Sabah serta Sarawak dan kaum lain, kuasa mengisytiharkan darurat, tidak boleh dipinda tanpa kelulusan raja Melayu.

Katanya, institusi diraja akan terus wujud bersama Malaysia.