Tegur memandu lawan arus, anggota Rela diancam dengan kayu

PETALING JAYA: Satu rakaman video memaparkan seorang anggota Rela diancam dengan kayu dan dimaki hamun selepas mengarahkan seorang pemandu supaya tidak memandu melawan arus di laluan sehala di Melaka.

Dalam klip yang tersebar di media sosial itu, anggota Rela terbabit dilihat bercakap dengan pemandu SUV hitam yang berhenti di tepi jalan.

Selepas anggota itu beredar, pemandu kereta tersebut keluar dan meluru ke arahnya dengan membawa sebatang kayu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Pemandu itu juga menunjukkan isyarat “jari tengah” dan mengacukan anggota itu dengan kayu yang dipegangnya.

Anggota Rela itu bagaimanapun tetap tenang dan kelihatan tidak membalas ancaman lelaki tersebut.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Jonker Street yang juga terkenal dengan panggilan jalan “Chinatown” Melaka.