Terima suapan, doktor ATM dipenjara 5 tahun, denda RM7 juta

Mahkamah turut memerintahkan Dr Kunaseegaran, 55, yang juga tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dipenjara 4 tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Dr R Kunaseegaran dijatuhi hukuman penjara 5 tahun dan denda RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas 2 pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta, 5 tahun lepas.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan, yang memanggil 2 saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Dr Kunaseegaran, 55, yang juga tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dipenjara 4 tahun lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail sementara tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Bagi kedua-dua pertuduhan rasuah itu, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut sebagai upah kerana mencadangkan Syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B & S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas pakai buang perubatan bagi 2013 untuk HATTM.

Dr Kunaseegaran didapati bersalah meminta wang tunai RM700,000 daripada pemilik RAZ Medical Supplies, Abdul Razar Abdullah, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit miliknya pada 11.58 pagi, 29 Ogos 2013.

Dia juga didapati bersalah bersetuju menerima wang tunai RM700,000 daripada Abdul Razar di hadapan Empire Gallery Subang Jaya dekat sini pada 5.15 petang, 3 Sept 2013.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Dr Kunaseegaran dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Geethan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh berkahwin dan mempunyai 2 anak selain berkhidmat 27 tahun dalam perkhidmatan awam.

Mohammed Heikal pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran berikutan rasuah merupakan musuh nombor satu negara.

“Menghapuskan gejala rasuah terutama dalam kalangan penjawat awam diberi keutamaan oleh kerajaan. Pohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada penjawat awam lain supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Dr Kunaseegaran, yang ditahan di Penjara Sungai Buloh dekat sini, kini dibicarakan atas pertuduhan bersubahat dengan 5 lelaki lain dalam kes pembunuhan Kevin Morais.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 Sept 2015.