Wan Azizah: Kemelut 1MDB disebabkan kegagalan pucuk pimpinan

Dr Wan Azizah berkata beliau mengharapkan pemimpin berbuat baik dan membantu mencapai lebih kejayaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kemelut 1MDB berlaku kerana kegagalan pucuk pimpinannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata walaupun terdapat peraturan, mekanisme tadbir urus dan sistem pelaporan, namun ia gagal sama seperti krisis lain yang berlaku di seluruh dunia berikutan individu di belakangnya tidak memiliki hati nurani dan timbul ketamakan.

Beliau menambah individu yang jahat boleh menjadi kreatif dan akan berusaha melaksanakan mekanisme ini.

“Kita mengharapkan pemimpin kita berbuat baik dan membantu kita untuk mencapai lebih kejayaan. Namun, kita sering melihat keadaan sebaliknya berlaku apabila pemimpin gagalkan kita.

“Mereka ini pemimpin yang lebih memikirkan keuntungan daripada segala-galanya. Mereka membenarkan kepentingan peribadi mereka untuk mengatasi kepentingan bersama dan mereka menggunakan kekayaan untuk membeli pengaruh,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Tanggungjawab Korporat dan Kemapanan Asean hari ini.

Sidang kemuncak sehari yang bertemakan “Membangunkan Masa Depan Lestari – Cabaran bagi Perbadanan dan Perniagaan” dihadiri pemimpin perniagaan dan masyarakat sivil untuk membincangkan mengenai pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan bagaimana membina masyarakat lebih inklusif dan mampan.

Dr Wan Azizah berkata pemimpin harus memimpin dengan hati nurani, sentiasa berpandukan moral dan komitmen.

Beliau menegaskan memiliki hati nurani lebih daripada sekadar pengetahuan tentang apa yang betul dan salah, ia juga menjurus kepada kemampuan untuk mengintegrasikan pemikiran moral ke fikiran mereka dan sebelum membuat keputusan.

Tambah beliau, walaupun nilai-nilai berkenaan bersesuaian untuk merealisasikan SDGs yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ia tidak seharusnya diperlakukan sama seperti trend lain atau untuk mewujudkan peluang perniagaan untuk kroni dan ahli keluarga.

“Kami memerlukan pemimpin yang memimpin dengan hati nurani, yang benar-benar komited kepada SDGs,” katanya.

Dr Wan Azizah memberitahu pemberita, kesihatan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertambah baik tetapi beliau akan terus menjalani pemeriksaan di wad Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menjalani ujian dan penilaian kesihatan.

“Sejak keluar dari penjara dan hospital, dia tidak pernah berehat. Saya fikir dia perlu berehat,” katanya.

Anwar, Ketua Umum PKR, dimasukkan ke hospital pada Sabtu lepas berikutan mengalami kesakitan akibat sakit bahu kanan dan bahagian belakang.