1MDB: Penyata kewangan diaudit 2010-2012 bukan penilaian adil

KUALA LUMPUR: Penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2010, 2011 dan 2012 yang diaudit KPMG Malaysia tidak memberikan penilaian sebenar dan adil ke atas syarikat itu, kata 1MDB.

Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, dalam surat bertarikh 8 Jun 2018, firma perakaunan itu menasihatkan 1MDB mengambil langkah perlu mengelak sebarang pergantungan atau pergantungan lanjut ke atas 3 laporan audit berkenaan.

“Menurut KPMG, mereka mencapai keputusan itu selepas menelitik laporan ketua audit negara mengenai laporan IMDB yang diklasifikasikan semula serta laporan berkaitan yang sebelum ini tidak dikemukakan pengurusan lama syarikat itu,” katanya.

1MDB berkata, jika dokumen itu diserahkan kepada juruaudit, KPMG percaya maklumat itu “akan memberi impak secara material kepda penyata kewangan dan laporan audit lain yang berkaitan”.

“Selain itu, KPMG menasihatkan kami supaya 1MDB memaklumkan kepada pihak berkaitan mengenai status terkini mengenai laporan audit berkenaan,” katanya.