3 ahli Parlimen dihubungi Dr M, tapi enggan dedah jawatan ditawarkan

Khalid Samad dan Darell Leiking enggan mendedahkan jawatan yang ditawarkan perdana menteri.

KUALA LUMPUR: Tiga ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang berada dalam senarai penuh Kabinet yang tersebar di media sosial, mengesahkan mendapat panggilan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, wakil rakyat itu ketika ditemui FMT hari ini meminta semua pihak bersabar menunggu pengumuman rasmi barisan penuh Kabinet oleh perdana menteri.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengakui Dr Mahathir sudah menghubunginya untuk menawarkan jawatan dalam Kabinet, tetapi beliau enggan mendedahkan portfolionya.

“Itu yang saya dengar, tetapi perlu tunggu pengesahan.

“(Dr Mahathir) ada menghubungi saya, tetapi tunggulah dan harap bersabar,” kata pengarah komunikasi Amanah itu selepas menghadiri taklimat prosedur dan perjalanan sidang Dewan Rakyat serta kemudahan wakil rakyat di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Langat yang juga Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan menerima panggilan daripada perdana menteri, tetapi meminta media menunggu pengumuman rasmi Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking mengakui sudah dihubungi Dr Mahathir, tetapi enggan mendedahkan jawatan yang ditawarkan kepadanya.

Timbalan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, beliau tidak tahu siapa anggota baru Kabinet Dr Mahathir dan berharap lebih ramai ahli Parlimen Sabah akan terpilih ke peringkat persekutuan.

“Saya ada dengar perkara itu, tetapi saya tidak tahu siapa menteri dilantik. Saya doakan mereka. Saya harap kawan-kawan ahli Parlimen dari Sabah ada yang dilantik.

“Saya rasa lebih baik tunggu pengumuman rasmi daripada perdana menteri sebab ini Kabinet. Saya tak ada kuasa bercakap lebih awal daripada perdana menteri.”

Satu senarai yang ditunjukkan kepada FMT menunjukkan 4 nama daripada PKR akan dilantik sebagai menteri, manakala 7 pemimpin lain daripada parti itu menjadi timbalan menteri.

Ini bermakna daripada 28 portfolio Kabinet, 7 menteri daripada PKR.

Antara pemimpin PKR yang berada dalam senarai menteri itu termasuk Datuk Saifuddin Abdullah sebagai menteri luar; Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna; Dr Xavier Jayakumar sebagai menteri air, tanah dan sumber asli; serta Baru Bian sebagai menteri kerja raya.

Anuar Tahir tidak mahu menaruh sebarang harapan bagi mengelakkan kecewa jika tidak dilantik dalam Kabinet.

Pemimpin dari parti komponen PH pula ialah Khalid sebagai menteri Wilayah Persekutuan; Teresa Kok sebagai menteri industri utama; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai menteri belia dan sukan; Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Leiking selaku menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Sementara itu, Kok yang juga ahli Parlimen Seputeh daripada DAP dan Ahli Parlimen Bayan Baru daripada PKR, Sim Tze Tzin ketika ditemui FMT enggan mendedahkan jika mereka menerima panggilan daripada perdana menteri.

Mereka juga enggan mengulas mengenai barisan Kabinet yang tersebar di media sosial itu, sebaliknya meminta rakyat menunggu pengumuman rasmi Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir menafikan beliau menerima senarai penuh Kabinet tersebar itu yang disifatkannya sebagai spekulasi.

Setiausaha agung Amanah itu tidak mahu menaruh sebarang harapan bagi mengelakkan kekecewaan jika tidak dilantik dalam Kabinet.

“Saya tak sabar nak tahu. Kalau tak dapat akan kecewa.

“Yang penting rakyat mahu lihat barisan Kabinet baru dan harapan sangat tinggi, mesti kerja keras untuk rakyat.”

PKR mungkin dapat paling banyak jawatan dalam Kabinet