Ahmad Said: Saya bantu SPRM bukan untuk kempen naib presiden Umno

Ahmad Said selesai memberi keterangan kepada SPRM selepas 5 jam.

PUTRAJAYA: Bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan beliau membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan 1MDB untuk berkempen dan mengukuhkan kedudukannya dalam pertandingan jawatan naib presiden Umno, Sabtu ini.

“Itu tidak ada kena-mengena, cuma yang saya nak kata kita perlu telus dan punya integriti dalam apa juga tindakan yang kita buat, walaupun kita terpaksa korbankan jawatan kita,” katanya di perkarangan Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Ahmad dan 6 pencabar lain, iaitu Datuk Seri Ismail Yaakob, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Sheikh Razali Sheikh Ahmad akan berebut jawatan naib presiden Umno, Sabtu ini.

Ahmad tiba di SPRM kira-kira 9.30 pagi tadi dan selesai memberi keterangan selama 5 jam kepada SPRM petang ini.

Adun Kijal itu berkata, beliau dipanggil SPRM untuk menjelaskan beberapa perkara berhubung Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) dan 17 muka surat dokumen ditunjukkan kepadanya dalam siasatan itu.

“Berdasarkan kepada soalan yang dikemukakan dan dokumen yang ditunjukkan kepada saya dan saya mengesahkan dokumen itu.

“Saya tidak boleh cerita mengenai dokumen (itu) kerana ini boleh mengganggu proses siasatan SPRM.”

1MDB bermula sebagai TIA, iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada Terengganu untuk jangka panjang dan melestarikan sosio ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ahmad merupakan menteri besar Terengganu ketika TIA ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan yang diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

Ahmad menerajui Terengganu dari 22 Mac 2008 hingga 12 Mei 2014.

Semalam, seorang bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak direman 7 hari bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB.

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan SPRM kira-kira 9.45 malam Ahad lalu ketika dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat agensi anti-rasuah itu.