Amri hilang: Pegawai SB tak pasti KPN diberitahu tentang siasatan Syiah

Aktivis Amri Che Mat dituduh terlibat dalam aktiviti Syiah di Perlis.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) tidak tahu sama ada bekas pengarahnya, Fuzi Harun dimaklumkan mengenai siasatan ke atas aktiviti Amri Che Mat yang dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Pegawai di Perlis itu, Razman Ramli berkata, perkembangan siasatan ke atas ajaran-ajaran yang dikatakan sesat akan dimaklumkan kepada pegawai atasannya, tetapi kadang-kadang ia dibuat “atas dasar perlu mengetahui” sahaja.

Razman berkata kajian polis tidak tertumpu kepada Perlis, Syiah atau Amri sahaja.

Beliau berkata demikian dalam keterangannya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini. Razman ditanya samada ada maklumat siasatan ada disalurkan kepada Fuzi.

“Saya memaklumkan kepada pihak atasan tetapi saya tidak tahu sama ada mereka memberitahu Fuzi. Saya tidak tahu sama ada Fuzi mendapat semua maklumat. Kadang-kadang ia berasaskan kepada ‘atas dasar perlu mengetahui’ dan ini diamalkan di Cawangan Khas,” katanya.

Fuzi merupakan pengarah sayap perisikan polis itu semasa kehilangan Amri pada 2016. Beliau dilantik sebagai ketua polis negara pada 2017.

Razman dipanggil memberi keterangan selepas isteri Amri, Norhayati Ariffin mendakwa dia dan Ketua Polis Perlis, Ab Rashid Ab Wahab tahu tentang penglibatan polis dalam kehilangan suaminya, seorang aktivis Perlis Hope yang dituduh terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah dan perdagangan mata wang asing.

Norhayati sebelum ini mendakwa seorang pegawai SB, Sarjan Shamzaini Mohd Daud, memaklumkan suami dalam pengawasan polis sebelum hilang. Isteri Amri ini mendakwa Razman adalah ketua Shamzaini pada masa itu.

Polis berkata Shamzaini dalam satu laporan polis menafikan dia pernah menyampaikan maklumat tentang kehilangan Amri kepada Norhayati.

Amri hilang ada 24 November 2016. Saksi inkuiri mendakwa beberapa lelaki mencurigakan memintas kenderaan Amri pada malam kehilangannya. Keretanya ditemui kira-kira 20km dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis.

Antara saksi yang dipanggil ke inkuiri setakat ini ialah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengunjungi rumah Amri bersama anggota jabatan mufti perlis dan polis.

Asri berkata kunjungan itu bagi menyiasat aduan tentang kecenderungan Amri kepada ajaran Syiah. Mufti nafi terlibat dalam kehilangannya.

Kaji masalah agama

Sementara itu, Razman hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam kehilangan Amri. Dia berkata tugasnya di Bahagian Sosial ialah melakukan kajian dan siasatan berkaitan isu-isu ajaran sesat.

Dia berkata kajian polis tidak tertumpu kepada Perlis, Syiah atau Amri sahaja, dan mengetahui tentang dakwaan penglibatan Amri berdasarkan laporan kunjungan Jabatan Mufti Perlis ke rumah aktivis itu pada 2015.

“Kita buat kajian mengenai masalah agama. Beberapa individu terlibat dengan Syiah dan bukan Amri seorang. Kajian kami bukan menjurus kepada Syiah sahaja. Ada juga ajaran sesat lain di Perlis seperti Qadiani, yang difatwakan sesat di Selangor.”

Beliau berkata pemeriksaan Jabatan Mufti Perlis di rumah Amri menenemui barang-barangan yang menunjukkan aktiviti Syiah yang diamalkan Amri.

“Saya mengetahuinya berdasarkan fail kajian yang dibuat pada masa itu dan saya ambil alih kajian pada 2016. Sepanjang kajian 2016, tidak ada apa-apa bukti baru menunjukkan Amri ada buat aktiviti Syiah.”

Beliau turut memaklimkan aktiviti Perlis Hope yang diketuai Amri tiada kaitan dengan ajaran Syiah.

“Perlis Hope tiada kaitan dengan Syiah, cuma Amri dikaitkan dengan Syiah apabila terdapat bukti di rumah Amri yang mengaitkan dia dengan Syiah,” katanya.

Simpati dengan keluarga

Razman mengakui bersimpati dengan keluarga Amri selepas kehilangan aktivis itu, dan ada menemui keluarga itu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.

Dia menjelaskan kunjungannya itu bagaimanapun bukan untuk menyiasat kehilangan Amri.

“Saya pergi sendiri, tiada mana-mana arahan. Saya tiada peranan untuk siasat kehilangan Amri. Saya ke sana nak tahu sama ada kehilangan Amri ada kaitan dengan perbezaan fahaman Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.”

Beliau berkata dia tidak pernah memberitahu Norhayati dia ke sana untuk menyiasat kehilangan Amri.

“Cuma saya bercakap 3 benda iaitu saya dimaklum tentang Amri terlibat dengan aktiviti forex dan mempunyai masalah; saya dimaklum tentang Amri ada hutang. Isteri Amri beritahu hutang itu telah selesai; dan saya diberitahu Amri ada bantu seorang lelaki dan menghantar anaknya ke Phatthalung, Thailand untuk belajar di sana, tapi tidak disenangi ahli keluarga itu yang mendakwa sekolah di sana ada kaitan Syiah,” katanya.

Razman juga menafikan Shamzaini bekerja di bawahnya.

“Dia bertugas di bahagian pentadbiran semasa Amri hilang dan sekarang di Bahagian Ekonomi,” katanya.

Razman berkata dirinya tidak berada di Perlis semasa kehilangan Amri.

“Saya berada di Pahang kursus selama seminggu dan saya pulang pada 25 November  2016,” katanya

Saksi: Individu jumpa isteri Amri memang pegawai SB