Asri Hamidon dilantik pengerusi 1MDB baru

Asri Hamidon kini juga ketua setiausaha Perbendaharaan.

PETALING JAYA: Syarikat pelaburan strategik 1MDB hari ini mengumumkan Datuk Asri Hamidon sebagai pengerusi baharunya berkuatkuasa 25 Jun.

Asri kini juga timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan yang bertanggungjawab terhadap pelaburan kerajaan.

Bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang juga ketua setiausaha Perbendaharaan, melepaskan jawatannya selepas kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya 9 Mei lalu.

Beliau yang dilantik sebagai pengerusi 1MDB pada Mei tahun lepas dipindahkan dari Perbendaharaan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kontraknya di jabatan itu juga dipendekkan sehingga 14 Jun ini.

Dalam satu kenyataan, 1MDB berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa eksekutif baharu yang terdiri daripada Datuk Mohammad Faiz Azmi, Datin Rashidah Mohd Sies dan Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

“Exco tersebut diamanahkan oleh lembaga pengarah untuk menguruskan operasi harian syarikat itu,” katanya.